Perlunya saling memahami tugas masing-masing dalam realiti masa kini
SAYA selalu menggunakan filem Mudhalvan sebagai contoh terbaik 'hubungan' di antara ahli politik dengan wartawan. Walaupun Mudhalvan hanya sebuah filem cereka, tetapi ia banyak menghuraikan sikap, prasangka, bias, keraguan dan kewaspadaan di antara elit politik dengan golongan wartawan.
Filem Tamil yang diarahkan oleh Shankar ini membawakan kisah seorang wartawan bernama Pugazhendhi atau Pugazh (lakonan Arjun) yang berdepan dengan seorang Ketua Menteri (lakonan Raghuvaran) yang korup dan sanggup melakukan apa saja untuk memastikan dia terus berkuasa. Pugazh mempersoalkan tindak- tanduk pemimpin itu yang menyebabkan negeri dilanda krisis. Bagaimanapun beliau dicabar oleh Ketua Menteri supaya mengambilalih tempatnya dalam masa sehari bagi mengetahui betapa sukarnya tanggungjawab itu.
Pugazh yang idealistik itu menyambut cabaran itu. Dipendekkan cerita beliau melakukan perubahan menyeluruh di Tamil Nadu. Tindakan itu disenangi oleh rakyat lalu meletakkan Ketua Menteri sebenar dalam keadaan serba-salah. Mudhalvan membuktikan bahawa wartawan tidak saja pandai mengkritik tetapi sekiranya diberikan peluang boleh menjadi pemimpin yang baik.
Ramai yang menganggap bahawa Mudhalvan mempermudah isu kepartian dan sistem politik yang jauh lebih kompleks.
Filem itu memberikan kemenangan pada wartawan kerana sistem politik yang sudah korup dan rosak. Di dalam filem itu, Pugazh akhirnya membawa Ketua Menteri ke pengadilan kerana kesalahannya. 'Kebenaran' dan 'Kebaikan' menang sementara 'Yang Korup' dan 'Yang Jahat' menerima hukuman setimpal.
Bagi saya filem ini banyak menonjolkan masalah sebenar di antara pimpinan politik dengan golongan wartawan. Kecurigaan di antara kedua-dua pihak bukan baru sebenarnya. Malah, sejarah kewartawanan dan kepartian di mana-mana negara di dunia banyak ditandakan oleh hubungan serba salah dan suka-benci ini. Negara kita tidak terkecuali.
Wartawan berasakan mereka perlu diberikan hak untuk bersuara sesuai dengan tradisi kebebasan akhbar yang harus dipertahankan. Ahli politik pula berasakan merekalah yang berhak menentukan agenda kerana mereka wakil terpilih, sedangkan wartawan bukan wakil sah rakyat.
Bagi elit politik mereka tidak selesa sekiranya media menentukan atau mencorakkan pandangan umum sewenang-wenangnya. Ada di antara mereka yang tidak menghargai perlunya check and balance dalam sistem kepartian dan pentadbiran. Mereka terlupa bahawa integriti mereka juga banyak bergantung pada penilaian umum - yang terlihat sebahagiannya daripada apa yang tertera di dalam media yang bebas dan bertanggungjawab.
Memang ada kemungkinan kebebasan media 'disalahgunakan'. Memang ada kecenderungan bahawa pimpinan media mengambilalih agenda demi kepentingan tertentu. Ada bahayanya juga apa yang diistilahkan sebagai 'media berkepentingan sendiri' atau self-interested media.
Punca kerisauan elit politik terhadap media sebenarnya diperkukuhkan oleh peristiwa Watergate di Amerika Syarikat (AS). Laporan penyiasatan dua wartawan The Washington Post - Carl Bernstein dan Robert Woodward - menumbangkan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Richard M Nixon. Peristiwa itu berlaku pada 70-an, ketika itu sempadan dunia belum terbuka luas. Alangkah primitifnya kaedah pendedahan Bernstein dan Woodward berbanding dengan apa yang boleh dilakukan oleh whistle blowers dan bloggers hari ini.
Ekoran peristiwa itu, tanggungjawab dan peranan media mula ditanyakan. Saya suka menggunakan konsep accountability atau kebertanggungjawaban apabila membicarakan soal ini. Bagi saya mungkin ada keperluan untuk kawalan atau regulation yang munasabah tetapi media juga harus bertanggungjawab dan melakukan self-regulation.
Wartawan ditentukan oleh kod etika yang bertulis, sedangkan pimpinan politik hanya mempunyai pegangan yang dianggap prinsip dan dasar. Sering pula pegangan itu berubah mengikut keadaan. Etika kewartawanan jelas menghukum pengamal yang melanggarnya. Walaupun tekanan itu lebih bersifat sanction daripada kelompok setara (peers) tetapi dalam profesyen yang jumlah pengamalnya kecil, kod itu amat penting dijunjung.
Pimpinan politik kadangkala dengan mudah menyalahkan media kerana mendedahkan sesuatu isu yang menurut mereka kecil dan tidak relevan tetapi dibesar-besarkan oleh media. Media selalunya dipersalahkan apabila 'kesilapan' orang politik didedahkan. Maka itu, timbul pandangan bahawa media 'tidak bersama mereka'. Tetapi elit politik terlupa bahawa mereka kadangkala membuat kesalahan kerana dasar yang tidak terlaksana, kerana ketirisan dan kebocoran yang memalukan dan kerana sikap mereka yang tidak boleh diteladani seperti terbabit dalam skandal seks.
Ada kalangan elit politik yang menganggap wartawan kawan asalkan mereka menurut saja dan tidak mengkritik. Mereka akan berpaling mengecam wartawan apabila tindakan salah mereka didedahkan atau perilaku mereka diketahui umum. Wartawan juga akan dipersalahkan setiap kali seseorang pemimpin politik tumbang.
Dunia media berubah secara mendadak sejak kebelakangan ini. Media tradisional mulai dicabar oleh asakan baru dalam konteks berita TV 24 jam, kelahiran komuniti bloggers dan akhbar talian serta pengaruh internet. Akhbar arus perdana menampakkan kemerosotan dari segi jumlah edaran di mana-mana di dunia. Media adalah industri berbilion ringgit. Organisasi media bertahan kerana pendapatan daripada edaran dan iklan. Iklan ditentukan oleh edaran dan bilangan pembaca. Pendapatan iklan (advertisement revenue) ialah nyawa syarikat media hari ini.
Cara paling mudah ialah untuk memberikan 'apa yang pembaca mahu'. Kita harus mengakui sukarnya memastikan keseimbangan sewajarnya dalam konteks hari ini - untuk menjadi akhbar berkualiti dengan tuntutan untuk menjadi popular dan laris.
Dalam kerangka inilah pimpinan politik harus faham kompleksiti dunia media. Saya percaya pengamal media cukup bertanggungjawab, khususnya di negara ini. Saya tidak percaya media mengabaikan tanggungjawab moral dan etika mereka. Saya juga amat yakin mereka sedar di mana peranan mereka dalam mencorakkan pandangan umum. Pada waktu yang sama mereka juga sedar sejauh mana kesan kritikan mereka terhadap elit politik. Memang tidak diberikan undi untuk menegur atau mengkritik tetapi mereka diberikan amanah untuk menjadi suara dan conscience rakyat.
Saya selalu percaya bahawa media yang bertanggungjawab, accountable dan memahami aspirasi rakyat akan dihormati oleh semua. Di sinilah letaknya integriti media. Pada hari ini dunia dikuasai oleh kelompok kecil yang menentukan pelbagai dasar seperti juga kekayaan dunia dikuasai oleh peratusan kecil manusia di planet ini. Memang pengamal media tidak punya formula ajaib untuk membuat perubahan tetapi kuasa media di tangan mereka boleh menjadi suara hati kemanusiaan itu sendiri.
Kita semua sedar makna seorang pemimpin yang menurut Tenas Effendy di dalam bukunya Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu, adalah mereka 'yang didahulukan selangkah, yang ditinggikan seranting, yang dilebihkan serambut, yang dimuliakan sekuku'. Oleh demikian, ahli politik masih perlu berpegang pada prinsip, harus punya bara perjuangan di dalam sanubari mereka, harus sedia berkorban dan tidak henti-henti menumpahkan jasa. Ini ukuran integriti mereka.
Kita tentulah tidak mahu keadaan apabila demokrasi hanya cemuhan dan pengamal demokrasi menjadi perosak demokrasi itu sendiri. Lebih menakutkan apabila demokrasi boleh dijual atau disewakan (democracy for hire). Atau apabila politik wang berleluasa.
Institut Integriti Malaysia (IIM) mencatatkan di dalam buku kecil yang terkandung di dalamnya bab mengenai 'Pelaksanaan agenda integriti oleh institusi politik': "Cabaran terbesar parti dan ahli politik terutama bagi parti yang memegang kuasa ialah memantapkan integriti dan menangani harapan rakyat yang kian meningkat."
Semua ini tidak mungkin terlaksana tanpa bantuan media sebagai mata dan telinga rakyat. Dan media tidak mungkin dapat menjalankan amanahnya tanpa pemahaman dan toleransi dari pimpinan politik.
Filem Mudhalvan hanyalah rekaan. Tetapi di dalam dunia nyata, keraguan di antara orang politik dengan pengamal media akan hanya merugikan kedua-dua pihak. Orang media tidak mungkin menjadi Pugazh tetapi Ketua Menteri dalam filem itu tidak boleh mengambil mudah pengaruh dan komitmen manusia seperti Puzagh.
Rencana ini disesuaikan daripada esei di dalam buku Integriti Politik Di Malaysia: Ke Arah Kefahaman Yang Lebih Sempurna terbitan Institut Integriti Malaysia (IIM)
Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu