ORANG ramai masih tertanya-tanya apa sebenarnya motif orang tertentu melarikan kanak-kanak kerana kes demi kes seumpamanya sejak kebelakangan ini menakutkan ibu bapa. Sehinggalah orang yang hilang itu ditemui dan pihak yang bertanggungjawab ditangkap, barulah kita dengan pasti tahu tujuan mereka berbuat demikian. Kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati kira-kira sebulan selepas dilaporkan hilang September lalu, masih menjadi misteri kerana mereka yang bertanggungjawab setakat ini masih bebas. Kita boleh membuat pelbagai andaian, tetapi tidak mungkin dapat mengetahui punca sebenar. Mereka yang melarikan dan membunuh Nurin Jazlin masih bebas dan mungkin mencari mangsa lain. Kes terbaru membabitkan Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang berhampiran rumahnya di Taman Medan, di Petaling Jaya, Rabu lalu. Sharlinie hilang ketika berjalan pulang ke rumah bersama kakaknya di Jalan PJS 2C/11N, Taman Medan, selepas bermain di taman permainan berdekatan, kira-kira jam 11.30 pagi. Sharlinie adalah budak perempuan kedua dilaporkan hilang dalam tempoh kurang 48 jam di situ. Sebelum itu, Nur Fatihah Zaidi, 6, dilarikan seorang lelaki bermotosikal ketika bermain di taman permainan Pangsapuri Desa Sepakat, kira-kira enam kilometer dari situ, tetapi ditemui ditinggalkan di Wangsa Maju. Dalam kes Nur Fatihah, lelaki berkenaan dikatakan mengajak mangsa mencari kucing dan burung, sekali gus menguatkan dakwaan suspek mungkin lelaki itu ialah 'lelaki kucing' yang mencabul dua kanak-kanak perempuan di Kampung Baru, Kuala Lumpur sejak pertengahan tahun lalu. Kita tidak pasti sama ada kes itu ada kaitan antara satu sama lain.
Berdasarkan statistik polis, dalam tempoh empat bulan pertama tahun lalu, 303 kanak-kanak hilang di seluruh negara dengan hanya 176 daripadanya ditemui. Sepanjang 2006, 1,485 kes dilaporkan dengan 900 kanak-kanak berjaya ditemui, manakala pada 2005, 1,803 kes dilaporkan dengan 1,254 daripadanya ditemui. Apakah sebahagian masalah itu disebabkan kelalaian ibu bapa? Keadaan lebih berisiko jika kanak-kanak terdedah dengan persekitaran orang ramai, selain ditinggalkan ibu bapa tanpa pengawasan orang dewasa. Nurin Jazlin, hilang apabila pergi ke pasar malam seorang diri, walaupun berdekatan rumah; Sharliena pula berjalan pulang ke rumah bersama kakak berusia 8 tahun. Begitu juga kes kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 4, daripada jagaan ibu bapanya ketika sibuk membeli-belah di Sogo, Kuala Lumpur, April tahun lalu.
Tiga kes berprofil tinggi ini jelas menunjukkan kehilangan mereka berlaku tanpa kehadiran ibu bapa di sisi. Kita tidak menuduh ibu bapa yang kehilangan anak mereka sebagai cuai dalam menjalankan kewajipan. Mereka tentunya sudah sedaya upaya menunaikan kewajipan, tetapi malang tidak berbau. Apapun, ibu bapa perlu mengawasi dan mengetahui setiap perlakuan dan pergerakan anak mereka bagi mengurangkan risiko seperti ini berlaku. Tiada apa yang lebih sempurna melainkan melihatkan anak kita bermain gembira di depan mata kita. Polis tidak akan berupaya untuk mengawal pergerakan jutaan manusia. Kita tidak mahu ibu bapa yang sememangnya sedih dengan kehilangan anak, berhadapan risiko dikenakan hukuman kerana lalai. Mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan jika wujud kecuaian ibu bapa yang menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah, penderitaan, pengabaian dan terdedah kepada keadaan bahaya, mereka boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Berita Harian