Ahad, 13 Januari 2008

MySpace angkat nama Colbie Caillat


Lagu Bubbly semakin mendapat tempat di hati peminat

KETIKA ramai artis generasi baru muncul hasil pertandingan realiti seperti American Idol, Colbie Caillat mempunyai cerita yang berbeza. Dek populariti profilnya di laman web MySpace yang menjangkau 250,000 kenalan dan 25 juta kali lagunya, Bubbly, didengar pelayar, Colbie akhirnya disambar syarikat rakaman Universal Republic.

Di Malaysia sendiri, lagu berkenaan saban hari kedengaran di kebanyakan saluran radio. Cuma wajahnya saja yang belum benar-benar melekat di minda peminat, tidak sebagaimana putaran lagunya yang kian ligat.

Selepas kejayaan Bubbly, Colbie muncul bersama album sulung yang menggunakan judul Coco, iaitu nama timangannya. Muncul saja di pasaran, album itu terus memasuki senarai Top 10 album terlaris di Amerika Syarikat (AS) dan sehingga hujung tahun lalu, jualannya sudah melayakkan gadis berusia 22 tahun ini menerima anugerah platinum.

Anak kepada produser album, Ken Caillat, ini seharusnya bersyukur dengan saranan rakan yang mahukan dia menyiarkan lagu Bubbly di internet. Jika tidak kerana gesaan berkenaan, belum tentu dia berjaya menonjolkan bakat nyanyian dan ciptaan lagunya kepada peminat seluruh dunia.

Walaupun bukan lahir daripada American Idol, sebenarnya wanita muda kelahiran California ini pernah mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian paling popular di dunia itu.

"Namun, saya tidak terpilih dalam rancangan itu. Beberapa tahun lalu, saya seorang yang masih menebal dengan sikap malu. Jadi, pada ketika uji bakat dilakukan, saya hanya berdiri saja di situ dalam keadaan gementar. Rancangan itu pula mahukan calon yang mempunyai pakej sebagai penghibur, ceria dan berkeyakinan.

"Kini, walaupun sudah berjaya memiliki album sendiri, tetapi saya masih berusaha memperbaiki diri menjadi penghibur yang lebih baik," katanya pada sesi sidang media menerusi telefon, baru-baru ini.

Album penyanyi ini dilihat antara yang bermutu pernah dikeluarkan tahun lalu, mengandungi lagu ciptaan penyanyi itu sendiri. Dimasukkan dalam kategori akustik, folk, soul dan R&B, album Colbie memuatkan lagu yang bercerita mengenai perasaan dan kejadian di persekitaran kehidupannya.

"Saya menulis lagu mengikut mood saya ketika itu. Ia umpama satu cara untuk saya meluahkan rasa. Jikalau saya berada dalam sesebuah percintaan, maka perasaan cinta jugalah yang saya luahkan di dalam lagu berkenaan. Jika sebaliknya, saya boleh menulis mengena apa saja berhubung kehidupan, termasuk bagaimana saya melihat rakan baik saya sedang mengandungkan anaknya," cerita Colbie.

Ditanya apakah kini dia dilamun cinta, artis yang dilahirkan pada 28 Mei 1985 ini bagai sukar untuk memberikan jawapan. Katanya, ia bukanlah sebuah cinta yang baru, tetapi perasaan lama yang bersemarak kembali bersama bekas teman lelaki.

Melihat kepada album pertama, Colbie nyata selesa mengalunkan irama yang diciptanya sendiri. Lalu, apakah penyanyi ini mengehadkan karier muziknya kepada lagu penghasilan sendiri atau sebaliknya?

"Sebenarnya, kemungkinan saya menyanyikan lagu ciptaan orang lain itu banyak bergantung kepada sama ada saya sukakan lagu terbabit atau tidak. Namun, oleh kerana saya sendiri boleh menghasilkan lagu, maka saya tidaklah keluar ke sana ke mari mencari lagu daripada komposer lain," katanya.

Ia juga tidak bermakna artis ini menolak untuk memberikan lagunya kepada penyanyi lain. Malah, ketika ditanya bagaimanakah dia melihat kehidupannya 10 tahun daripada sekarang, Colbie dengan yakin berkata, ketika itu mungkin dia sudah pun memiliki sekurang-kurangnya lima album dan sibuk bekerja di studio, termasuk menghasilkan lagu untuk orang lain. Ketika itu juga katanya, dia sudah pun memiliki keluarga sendiri.

Penyanyi yang sering kali dikatakan mempunyai persamaan dengan Sheryl Crow dan Jennifer Aniston ini juga tidak pernah menyesal memilih karier muzik walaupun kehidupannya sudah mula berubah, sejak lapan bulan lalu. Dia gembira dengan pilihannya, meskipun merindui aktiviti lama yang pernah dilakukan bersama teman.

"Paling dirindui tentulah masa yang diluangkan bersama keluarga. Tetapi, Januari ini saya akan bercuti seketika, jadi bolehlah saya pulang ke pangkuan orang tua dan menghabiskan waktu bersama rakan taulan. Pada Januari juga, saya akan merakamkan beberapa lagu yang sudah pun dikumpulkan, untuk album seterusnya," katanya yang agak sibuk mengembara mempromosikan Coco, bukan saja di Amerika Syarikat, tetapi menjangkau beberapa tempat di benua Eropah.

Tidak berasakan dirinya sudah begitu dikenali, Colbie bagaimanapun enggan menjadikan kemasyhuran yang mula dinikmati sebagai batu loncatan untuknya terjun ke dunia lain, termasuk lakonan. Baginya, kecintaan sebenarnya ialah pada nyanyian, manakala menulis lagu pula satu lagi aktiviti yang tidak mungkin dapat dipisahkan daripada dirinya.


INFO:

*SELAIN menyanyi dan mencipta lagu, wanita ini juga seorang yang gemarkan seni fotografi, hiasan rumah dan berenang.

*SEBELUM bergelar artis rakaman, dia pernah bekerja di kaunter hadapan sebuah salun.

*MINAT Colbie untuk serius menyanyi timbul apabila dia mendengar Lauryn Hill menyanyikan lagu Killing Me Softly. Kerana penyanyi itu, dia mula memasuki pertandingan nyanyian, dan sudah tentunya lagu Lauryn yang menjadi pilihan.

*PESAN bapanya, Ken, jika Colbie ingin berjaya sebagai penyanyi, dia juga perlu mengasah bakatnya dalam ciptaan.

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Berita Harian