PENINGKATAN indeks jenayah seharusnya memberi isyarat kepada semua pihak supaya sama-sama berganding bahu untuk mengurangkannya. Sememangnya tugas polis menangani kegiatan jenayah, tetapi mengharapkan polis semata-mata tidak mungkin dapat menghalang perbuatan mencuri, memeras ugut, menculik, merusuh, mencederakan orang lain, membunuh dan pelbagai kesalahan lain yang melanggar undang-undang negara. Rakyat juga harus memainkan peranan sama ada secara bekerjasama dengan pihak berkuasa atau mengamalkan sikap ambil tahu jika berdepan dengan sesuatu yang pelik di kawasan kediaman masing-masing. Sikap individualistik antara faktor meningkatnya jenayah kerana penjenayah tahu dalam masyarakat seperti itu, mereka lebih mudah mengelak daripada undang-undang selepas melakukan jenayah. Inilah yang berlaku di kota Amerika Syarikat yang penghuninya yang individualistik.
Kita menyambut baik pelbagai langkah membendung kegiatan jenayah termasuk yang terbaru - mewajibkan pemilik atau penyewa bangunan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan menempatkan lebih ramai anggota polis di lokasi yang berisiko. Kita sedar polis tidak mampu mengendalikan sendiri usaha membanteras kegiatan jenayah tanpa bantuan semua pihak khususnya masyarakat. Namun, langkah menambahkan anggota polis pelbagai peringkat dan mengambil pesara polis bekerja secara kontrak boleh membantu membendung perbuatan jenayah daripada berleluasa. Keputusan kerajaan membenarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil 60,000 anggota tambahan dalam tempoh lima tahun sehingga 2011 diharap mempercepatkan tindakan dan keberkesanan menangani jenayah. Apapun kelengkapan dan anggota polis yang mencukupi belum tentu dapat mengurangkan unsur jenayah jika anggota tidak berkerja dengan cekap, mengabaikan berdisiplin dan masyarakat enggan bekerjasama dengan polis.
Dalam taklimat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sempena lawatan kerja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Selasa lalu, dimaklumkan bahawa Jenayah Indeks meningkat sebanyak 14,910 atau 7.12 peratus kepada 224,298 tahun lalu, berbanding 209,388 pada 2006. Selain berusaha memerangi jenayah itu, kajian harus dilakukan bagi mencari punca peningkatan itu. Misalnya, kenapa sehingga 185 kecurian motosikal dan 67 kes pecah rumah berlaku sehari sedangkan sebelum ini ia tidak berlaku sebanyak dan sekerap itu. Mungkinkah ia ada kaitan dengan kebanjiran ramai warga asing? Apapun, kita tidak boleh membiarkan penjenayah terus mencemarkan imej negara, terutama di mata pelancong asing. Jangan kerana tindakan mereka ini, bukan saja rakyat sentiasa diselubungi kebimbangan, malah pelancong juga takut mengunjungi Malaysia, sekali gus menjejaskan industri pelancongan dan iklim pelaburan kita. Justeru, sikap penduduk yang kurang mempedulikan apa yang berlaku di persekitaran dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang, walaupun jenayah berlaku di depan mata harus dikikis. Pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menyuntik sikap sensitif dan responsif di kalangan penduduk serta saling berinteraksi untuk mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat. Disebabkan itu, kita percaya idea penubuhan Rakan Cop pada peringkat nasional boleh menarik rakyat bersama-sama berganding bahu dengan polis membasmi jenayah dan ia perlu disegerakan.
Berita Harian