TEXAS: Seorang lelaki membunuh teman wanitanya, kemudian memotong dan memasak bahagian tubuh mangsa sebelum menghubungi polis untuk memberitahu apa yang dilakukannya.
Christopher Lee McCuin, 25, menghubungi polis Sabtu lalu dan memberitahu pasukan kecemasan dia sudah membunuh Jana Shearer, 21, dan merebus bahagian tubuh mangsa di rumah ibunya, kata Syerif J B Smith.
Apabila pihak berkuasa tiba di rumah berkenaan, mereka menemui mayat Shearer yang sudah dikerat, sebelah telinga direbus dan garpu untuk mengorek daging manusia terletak di dalam pinggan di atas meja dapur.
Pihak berkuasa berkata, tidak dapat dipastikan sama ada McCuin memakan mana-mana bahagian tubuh Shearer.
"Kami tidak dapat membuktikan dia melakukannya. Dia, sama ada akan membuat, sudah membuat atau membuatkan kami berfikir dia melakukannya," kata Smith.
Pihak berkuasa percaya Shearer, 21, diculik dari rumahnya malam Jumaat lalu dan dibunuh. Kematiannya dan keadaan mayat yang dikerat adalah permulaan kejadian jenayah yang juga membabitkan tindakan McCuin menikam teman lelaki bekas isterinya dan memecah masuk sebuah premis. Mangsa berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital, kata pegawai.
McCuin, yang berasal dari Tyler, kira-kira 177 kilometer ke timur Dallas, didakwa membunuh.
Dia ditahan di Penjara Smith dengan jaminan AS$2 juta (RM6.8 juta) dan tidak diwakili peguam, kata pegawai.
Sebelum menghubungi polis, McCuin memberitahu ibu dan teman lelaki wanita itu supaya melihat ke dalam garaj.
Di situ, pasangan berkenaan melihat sisa mayat Shearer. Ibu McCuin dan teman lelakinya segera melarikan diri dan meminta bantuan seorang pegawai polis. McCuin menghubungi pihak berkuasa selepas mereka melarikan diri.
Shearer meninggal dunia akibat pukulan senjata tumpul di kepala, kata Smith. Detektif cuba mengenal pasti di mana dan bila pembunuhan berlaku. Mangsa mungkin diculik malam Jumaat lalu apabila ibunya melihat dia memasuki trak McCuin.
"Tiada pergelutan berlaku tetapi dia melihat anaknya keluar rumah tanpa memakai kasut, membawa dompet dan telefon bimbit," kata Smith.
McCuin kemudian menuju ke rumah bekas isterinya dan menikam William Veasley, 42. Dia masih di rumah itu apabila pasukan polis tiba tetapi dapat melepaskan diri selepas diburu anggota keselamatan, kata Smith.
- AP