Isnin, 7 Januari 2008

Budak belasah kanak-kanak hingga mati

LAUDERHILL: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditahan Sabtu lalu atas tuduhan membunuh kelas pertama selepas dia memukul seorang kanak-kanak perempuan sehingga mati dengan kayu besbol kerana mangsa menangis ketika budak lelaki itu menonton televisyen.

Jurucakap polis Lauderhill, Leftenan Mike Cochran, berkata budak lelaki yang tidak dinamakan itu dihadapkan ke Mahkamah Juvana Sabtu lalu dan masih dalam tahanan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada dia mempunyai peguam atau ada orang lain akan didakwa berikutan pembunuhan itu.

Cochran berkata, budak lelaki berkenaan mengaku kepada pihak berkuasa bahawa dia berseorangan di rumah Jumaat lalu menjaga dua budak perempuan masing-masing berusia 10 tahun dan 17 bulan.

Dia menjadi marah apabila mangsa mula menangis. Hubungan mereka tidak dapat dipastikan.

Pada satu ketika, seorang dewasa menghubungi perkhidmatan kecemasan. Mangsa, Shaloh Joseph, dikejarkan ke hospital dan diisytiharkan meninggal dunia akibat pukulan senjata tumpul di kepala, kata Cochran.

Akhbar The Miami Herald mengenal pasti ibu budak itu sebagai Guerla Joseph.

Kes itu bukan kali pertama di Florida membabitkan budak lelaki semuda itu didakwa dalam kematian budak lain.

Lionel Tate berusia 12 tahun ketika dia memukul dan memijak seorang rakan sepermainannya hingga mati.


Lionel Tate

Ketika itu, Tate adalah orang termuda dalam sejarah moden Amerika Syarikat dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Peguamnya, pada awalnya berkata Tate tidak sengaja membunuh Tiffany Eunick, enam tahun, pada tahun 1999 ketika meniru aksi gusti profesional.

Tate disabitkan dengan pembunuhan kelas pertama dewasa tetapi sabitan digugurkan pada tahun 2004, dan Tate mengaku bersalah kepada dakwaan lebih ringan.

- AP