ITALI: Askar Itali mula menggunakan jentolak bagi memungut sampah yang tidak dikutip di sekitar kawasan sekolah di Naples semalam selepas bandar berkenaan menghadapi krisis sampah selama dua minggu.
Pemungut sampah menghentikan kutipan sampah di bandar pelabuhan selatan itu dan sekitarnya pada 21 Disember lalu kerana ketiadaan tempat pelupusan. Walaupun penduduk di kawasan berkenaan marah dengan keadaan sampah yang tidak dipungut, mereka juga menjadi penyebab yang menghalang pembukaan kawasan pelupusan baru atau pembukaan semula kawasan lama.
Penduduk di kawasan luar bandar Pianura semalam terpaksa berdepan dengan polis berikutan tindakan mereka menghalang pihak berkuasa membuka semula pusat pelupusan yang sudah lama ditutup atas alasan pembukaan pusat itu akan mendatangkan risiko kepada kesihatan.
Sekatan itu dibuat dengan menggunakan sampah, besi terpakai dan tayar lama mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan dan menghalang trak yang dalam perjalanan ke pusat pelupusan itu dengan peralatan yang diperlukan untuk membukanya semula.
Sebelum matahari terbit, jurutera tentera menggunakan jentolak untuk mengaut sampah sarap dari jalan raya di Caserta, dekat Naples dan di sekitar kawasan sekolah, yang dijadual buka pada Isnin selepas cuti Krismas.
Dengan timbunan sampah semakin banyak di bandar ini, penduduknya mengambil langkah membakar sampah, menimbulkan kebimbangan pencemaran asap toksid.
Kekurangan ruang di pusat pelupusan menjadi punca timbunan sampah di Naples selama beberapa tahun. Krisis yang terbaru ini mencetuskan kemarahan orang awam yang mendesak peletakan jawatan pegawai yang berjanji untuk mengatasi masalah berlarutan itu.
Perdana Menteri, Romano Prodi, yang berjanji menyelesaikan sama sekali masalah itu sepatutnya mengadakan perjumpaan dengan menteri kerajaan bagi merumuskan strategi.
- AP