Rabu, 2 Januari 2008

Kerajaan baru diharap prihatin nasib penduduk Selatan Thailand


WALAUPUN ada meramalkan pilihan raya umum Thailand Ahad lalu mungkin tegang, ia bukan saja berjalan lancar malah menyaksikan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang diusir daripada tampuk kuasa ketika rampasan kuasa September 2006, masih berpengaruh. Walaupun Thaksin berada di luar negara sejak rampasan kuasa itu, sekutunya memenangi pilihan raya dan semakin pasti bakal membentuk kerajaan baru. Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang terdiri daripada sekutu Thaksin memenangi 233 daripada 480 kerusi Parlimen, kurang lapan kerusi untuk menguasai majoriti mutlak yang diperlukan untuk memerintah tanpa sokongan parti lain. PPP mendakwa sudah mendapat sokongan empat parti kecil bagi menubuhkan kerajaan campuran dan sekurang-kurangnya sebuah daripadanya tidak menafikan persetujuan dicapai untuk menyertai kerajaan PPP.

Kini pemimpin parti politik yang bertanding dalam pilihan raya itu dikatakan giat berunding bagi membentuk sebuah kerajaan di bawah sistem demokrasi semula. Thaksin yang kini berada di Hong Kong dilaporkan mahu pulang ke Thailand seawal Februari ini dan menggesa penyokongnya supaya berdamai dengan tentera. Kelmarin, Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont menyatakan beliau tidak ada masalah jika Thaksin pulang ke Bangkok selepas sekutunya memenangi pilihan raya. Surayud dilantik oleh junta tentera yang menggulingkan Thaksin pada September 2006.

Kita berharap keadaan di Thailand kembali seperti biasa dan tidak timbul masalah apabila Thaksin kembali nanti. Lazimnya kepulangan bekas pemimpin yang digulingkan mencetus ketegangan, antaranya seperti kepulangan bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif. Tetapi keadaan di Pakistan dan Thailand tidak sama, kerana di Bangkok, yang menang ialah sekutu Thaksin seperti pemimpin PPP, Samak Sundaravej. Semoga tiada berlaku sebarang kejutan seperti satu lagi rampasan kuasa tentera di Thailand selepas ini.

Meskipun PPP berupaya membentuk kerajaan baru secara bersendirian, adalah lebih baik bagi pemimpinnya mengajak parti kecil yang lain kerana ia boleh membantu menjamin kestabilan politik. Kita tidak pasti apa pendirian Samak setakat ini sama ada mengamalkan dasar bekerjasama dengan parti lain atau mahu PPP saja memerintah. Tetapi Setiausaha Agung PPP, Surapong Suebwonglee, dilaporkan berkata bahawa setakat ini tiga parti kecil sudah bersetuju menyertai kerajaan campuran yang diketuai PPP dan parti terbabit pada masa ini berbincang dengan dua parti lain. Keadaan akan menjadi semakin jelas apabila Samak mengadakan satu sidang media pada 4 Januari ini bagi mengumumkan pembentukan kerajaan baru. Parti Demokrat mendapat undi kedua tertinggi dengan 165 kerusi dan Parti Chart Thai memperoleh 37 kerusi.

Sebagai negara jiran yang paling dekat dengan Malaysia, kita berharap siapa pun memerintah negara itu, hubungan dan kerjasama yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara dapat diperkukuhkan lagi. Kita juga mengharapkan suasana aman tanpa ketegangan selepas kerajaan baru dibentuk sekurang-kurangnya pada minggu pertama Januari ini. Kerajaan baru nanti juga perlu meningkatkan usaha bagi memperbaiki keadaan di Selatan Thailand supaya kembali aman seperti biasa tanpa pertumpahan darah seperti sekarang. Nasib umat Islam di Selatan Thailand perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan baru nanti kerana keamanan di wilayah itu lebih banyak memberi manfaat kepada Bangkok sama ada dari segi politik, ekonomi dan pelancongan.

Berita Harian