Rabu, 2 Januari 2008

Pakistan kena pastikan demokrasi terus hidup


KERAJAAN dan semua lapisan rakyat di seluruh dunia semalam rata-rata mengecam pembunuhan kejam Benazir Bhutto. Kebanyakan mereka menganggap kematian bekas Perdana Menteri Pakistan itu sebagai mengejutkan, menyedihkan dan tragik. Kita di Malaysia turut berkongsi bukan saja kejutan dan kesedihan itu, malah kebimbangan Pakistan akan terjerumus ke dalam suasana politik tidak menentu, sehingga memungkinkan memaksa kerajaan menunda pilihan raya 8 Januari ini. Jika sebelum ini ramai menganggap Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir membawa harapan memulihkan demokrasi ke negara Islam yang mempunyai kuasa nuklear itu, kini ramai pula tidak begitu optimistik. Malah, umum menganggap kestabilan dan keamanan Pakistan kian terancam. Perkembangan itu bukan hanya berita buruk bagi Islamabad, tetapi kepada keseluruhan negara Islam khususnya dan seluruh dunia amnya. Pakistan selama ini menawarkan kepemimpinan penting kepada dunia Islam, terutama peranannya menganjurkan keamanan antarabangsa, memupuk sikap sederhana dan memerangi keganasan. Pembunuhan Benazir menjejaskan peranan itu dan lebih memburukkan ia turut mengukuhkan kedudukan golongan ekstremis di negara itu dan rantaunya.

Anak Zulfikar Ali Bhutto, bekas Perdana Menteri pertama Pakistan yang dipilih menerusi pilihan raya, Benazir yang pernah dua kali menjadi Perdana Menteri, menawarkan kepemimpinan liberal dan sederhana serta berjanji membawa Pakistan ke arah demokrasi. Beliau juga bertekad untuk memerangi golongan ekstremis jika partinya menang pilihan raya Parlimen. Namun, jelas wujud kuasa di Pakistan yang tidak senang dengan hasrat itu. Mereka kini sudah bersuara dengan melancarkan serangan bom berani mati. Benazir mempertaruhkan nyawanya untuk demokrasi dan kini pengorbanannya itu mungkin sia-sia jika rakyat negaranya termakan dengan strategi golongan ekstremis. PPP yang menjadi harapan demokrasi di Pakistan, diharap tidak jatuh kucar-kacir dengan ketiadaan kepemimpinan Benazir. Siapapun yang bakal mengambil alih kepemimpinan PPP harus memastikan parti itu daripada berpecah dan seterusnya melemahkan prestasinya pada pilihan raya akan datang. Jika itu berlaku, ia menguntungkan kuasa ekstremis yang akan mengambil kesempatan memastikan parti sekutu mereka mempunyai pengaruh besar dalam politik Pakistan.

Perkembangan terbaru di Pakistan ini juga menjadi cabaran besar kepada Presiden Pervez Musharraf dan beliau perlu bertindak secara berhikmah, menyatupadukan rakyat tidak kira daripada parti kerajaan atau pembangkang bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu. Musharraf juga perlu bertindak cepat dan tegas dalam memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Benazir dibawa ke muka pengadilan. Tugas ini harus diserahkan kepada badan inkuiri bebas pada peringkat tertinggi agar rakyat tidak ragu-ragu terhadap siasatan yang dijalankan dan mengembalikan keyakinan mereka kepada keluhuran undang-undang negara itu. Kerajaan Musharraf harus memastikan bahawa kematian Benazir tidak akan bermakna demokrasi akan turut terkubur bersama legenda politik Pakistan itu. Jika ia gagal, bukan hanya Pakistan menerima padah, tetapi juga seluruh dunia kerana benteng besar dalam membendung kegiatan ekstremis mungkin mula retak dengan pergolakan berterusan di Pakistan.

Berita Harian