Rabu, 30 Januari 2008

Kisah David Teo


David Teo adalah merupakan seorang penerbit filem Melayu yang bukan berbangsa Melayu yang berjaya di Malaysia. Namun kejayaannya hanya dapat dikecapi sekarang, setelah filem Jangan Pandang Belakang hasil arahan Ahmad Idham telah berjaya mencatatkan kutipan luar biasa bagi sebuah filem Melayu dan telah mengalahkan rekod kutipan filem Sembilu hasil arahan Yusof Haslam yang pernah dinobatkan sebagai filem paling popular suatu masa dahulu.

Kisah penglibatannya di dalam perniagaan bermula selepas dia tamat persekolahan di Johor Baharu, dia menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Namun, hasrat menggenggam segulung ijazah tidak berhasil. Pengajiannya hanya sekerat jalan, kerana himpitan kemiskinan David Teo mengambil keputusan berhenti belajar.

"Keluarga saya bukan orang senang. Sejak kecil saya sudah belajar cari duit sendiri. Pagi saya ke sekolah, petang pula saya mengambil upah membuat longkang. Duit upah membuat longkang itu saya simpan untuk membiayai persekolahan dan membeli alatan persekolahan.

"Kawan-kawan seklah bertanya, kenapa jari-jemari saya kotor dan berwarna hitam? Saya katakan kepada mereka, saya ambil upah buat longkang dengan gaji RM0.50. Mereka ketawakan saya tetapi itu tidak mematahkan semangat saya," cerita David.

Hasil duit membuat longkang, David ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal. Selepas berhenti belajar, David mencuba nasib menjadi jurujual. David perlu mencari duit untuk menampung perbelanjaannya dan berjanji tidak akan menyusahkan keluarganya di kampung malah tindakannya berhenti sekolah juga dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya.

Ketika menjadi jurujual, David berkenalan dengan seorang kenalan yang mengajak David menjual barangan herba dan melantik David menjadi pegawai pemasaran. Enam bulan berusaha menjual barangan tersebut, pulangan yang diperoleh cukup lumayan. David membeli sebuah kereta Proton Saga bernilai RM19 ribu.

"Saya pulang ke kampung dengan kereta baru, ibu dan ayah di kampung tidak percaya apabila saya katakan kepada mereka saya sudah berhenti belajar dan sedang bekerja. Saya katakan kepada mereka setelah bekerja, saya berjaya membeli kereta dan mengumpul sedikit wang untuk memulakan perniagaan.

"Mendengar cerita saya, mereka kagum. Kemarahan ayah dan ibu bertukar gembira kerana sekitar 1980-an banyak orang yang berhijrah ke Kuala Lumpur terlibat dengan masalah sosial dan kembali ke kampung halaman dengan tangan kosong, tetapi saya pulang dengan memandu kereta sendiri dan memberikan mereka sedikit wang," ujar David.

Daripada jualan lansung, David memulakan perniagaan peralatan elektrikal dan barangan kelengkapan perumahan. Dari Malaysia, pasaran perniagaannya menganjur ke India, China, Thailand, Sri Langka dan Korea.

Beberapa tahun selepas itu, David berjinak-jinak pula dengan industri perfileman, David bersama-sama dengan beberapa orang rakan mencuba nasib menerbitkan filem pertama berjudul Syukur 21, namun cubaan pertama David gagal. David kerugian RM2.8 juta.

Sikap pantang mengalah yang ada pada David membuatkannya tidak serik mencuba. Filem kedua berjudul No Problem diterbitkan, namun sekali lagi David mengalami kerugian RM200 ribu. Setelah dua kali gagal meraih keuntungan, David muncul dengan filem ketiganya berjudul Mendam Berahi. Kegagalan David berulang. Kali ini jumlah kerugian mencatat RM700 ribu.

"Tiga kali saya gagal tetapi saya tetap dengan pendirian, mahu buat filem dan terus buat filem. Banyak orang kata sekiranya gagal tiga kali berturut-turut tiada, tiada ong, tetapi saya tidak mahu mengalah. Saya tidak percaya sekali gagal, manusia akan gagal selama-lamanya. Kepercayaan itu kuno dan mengarut. Saya terus menerbitkan filem dan filem saya akhirnya mendapat tempat di hati peminat. Menerusi filem Jangan Pandang Belakang, sebanyak RM7.5 juta berjaya diraih dan kejayaan ini mencatatkan sejarah tersendiri dalam dunia perfileman negara," kata David.

Ketika usia 43 tahun, David percaya apa-apa yang dilaluinya sejak kecil banyak membantu dirinya berjaya.

"Saya tidak belajar tinggi seperti orang lain kerana itu saya mesti berusaha lebih gigih daripada orang lain," kata David mengakhiri perbualan.

Dewan Masyarakat.