PELANCARAN Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di Kota Kinabalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, akan membawa dimensi baru pembangunan terancang di Negeri Di Bawah Bayu itu. Melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan pelaburan swasta, Sabah akan berubah wajah yang pembangunannya bukan saja tertumpu di kawasan bandar malah menyeluruh sehingga ke pelosok negeri menjelang 2025. Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, pembangunan Sabah agak terbantut sebelum kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional pada 1994. Bagaimanapun, melalui perancangan teliti sejak sekian lama, selain pelancaran SDC, Sabah bakal seiring negeri lain yang membolehkan penduduknya menikmati kemajuan saksama. Dengan pelaburan bernilai RM105 bilion sepanjang tempoh 18 tahun pelaksanaannya bermula tahun ini, kira-kira tiga juta penduduk negeri itu bakal menikmati pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih berkesan. Selaras tekad kerajaan negeri untuk menghapuskan kemiskinan tegar di kalangan penduduk luar bandar, kita berharap pembangunan lebih menyeluruh bakal mengubah kehidupan penduduk kawasan mundur di Kudat, Nabawan, Pitas, Kuamut, Togod dan Pensiangan. Kalau sebelum 1994 ketika kerajaan negeri dikuasai pembangkang, Sabah berdepan kemelut politik sehingga menjejaskan pembangunan negeri, selain hubungan negeri dan Persekutuan kurang mesra, kini semuanya sudah berlalu. Kerajaan Persekutuan memberi perhatian khusus kepada pembangunan Sabah. Peruntukan kewangan besar disalurkan untuk membangunkan negeri melalui peruntukan khas dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Berbeza dengan negeri lain, Sabah yang memiliki aset berharga iaitu keluasan tanah untuk pembangunan pertanian, sumber asli dan produk pelancongan alam sekitar, mampu menjana ekonomi bagi pertumbuhan negeri dalam jangka panjang. Sabah juga antara negeri pengeluar terbesar minyak sawit dan petroleum selain memiliki keindahan alam semula jadi seperti Taman Negara Kinabalu, yang menjadi daya tarikan pelancong asing. Dengan tahap keselamatan tinggi yang disediakan Kerajaan Pusat melalui Operasi Pasir, berikutan ancaman lanun dan penculik terutama di kawasan pantai timur Sabah pada awal 2000, kini pelancong asing membanjiri negeri itu. Tahun lalu saja jumlah pelancong mencecah 2.5 juta, sekali gus menjana pendapatan RM4.72 bilion. Sabah memiliki keupayaan tersendiri untuk membangunkan ekonomi dan sosial secara menyeluruh pada masa depan. Melalui SDC, kita yakin program pembangunan terancang akan memberi manfaat melalui peruntukan tambahan RM5 bilion bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam RMK-9 dan sebelum ini, RM20.1 bilion, memberi kesan ekonomi yang akan dilihat dalam tempoh terdekat. Pembangunan yang menekankan lima aspek utama itu akan mengubah Sabah dalam tempoh 18 tahun akan datang, termasuk menjadikan negeri itu, pintu masuk utama di rantau ini bagi tujuan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Kita berharap penduduk setempat akan merebut peluang itu kerana ia bukan saja membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa, malah mampu mengurangkan kebergantungan kepada warga asing yang membanjiri negeri itu. Dijangka dalam tempoh 18 tahun dari sekarang, sejumlah hampir sejuta peluang pekerjaan akan disediakan, untuk dimanfaatkan penduduk tempatan terutama kalangan penduduk di kawasan miskin mutlak. Mereka perlu mengubah sikap untuk turut berusaha kerana masa hanya melihat pembangunan datang bergolek untuk mengecapi kekayaan sudah berakhir. Hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Pusat ternyata memberi manfaat besar untuk dinikmati rakyat Sabah.
Berita Harian