Kevin Rudd (kiri) bersama Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush
SYDNEY: Kerajaan Australia yang diterajui Parti Buruh akan meminta maaf secara rasmi kepada ‘generasi dicuri’ pribumi negara itu sebagai acara pertama pembukaan sesi baru Parlimen. Perdana Menteri, Kevin Rudd, akan menyampaikan permohonan maaf pada 13 Februari ini, hari pertama sesi Parlimen, kata Menteri Hal Ehwal Pribumi, Jenny Macklin, semalam. Macklin berkata, permohonan kepada pribumi yang diambil secara paksa daripada keluarga mereka ketika kanak-kanak, dan dibesarkan oleh keluarga angkat adalah ‘langkah pertama yang penting untuk bergerak ke depan dari masa silam.’
Kerajaan terdahulu enggan meminta maaf kepada masyarakat pribumi Australia kerana kesalahan masa lalu, malah menyatakan meminta maaf akan meletakkan kesalahan kepada penduduk awam. “Permohonan maaf akan dibuat bagi pihak kerajaan Australia dan tidak merujuk kesalahan kepada generasi terkini rakyat Australia,” kata Macklin dalam satu kenyataan. Beribu-ribu kanak-kanak pribumi, diambil daripada keluarga masing-masing dan diletakkan dalam institusi atau keluarga angkat menurut dasar menyerap mereka ke dalam komuniti perdana.
- AFP