Isnin, 7 Januari 2008

Korban di Iraq 2007 kedua tertinggi


BAGHDAD: Jumlah kematian di Iraq sepanjang tahun lepas adalah adalah kedua paling tinggi sejak pencerobohan negara itu oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya pada 2003.

Angka dikeluarkan kumpulan Iraq Body Count (IBC) itu bercanggah dengan dakwaan Washington bahawa peningkatan operasi tenteranya sudah mengurangkan dengan dramatik keganasan di negara Arab bergolak itu.

IBC yang mempunyai pengalaman luas berkhidmat di Iraq berkata jumlah kematian di luar Baghdad meningkat sehingga September lepas.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata jumlah kematian di Baghdad yang melihat peningkatan operasi tentera AS Baghdad, jatuh mendadak sepanjang tahun lepas.

IBC yang mengumpul datanya daripada sumber rasmi, termasuk Pentagon, mendapati di antara 22,586 hingga 24,159 kematian awam dicatatkan pada 2007 dengan kebanyakannya berlaku di antara Januari dan Ogos.

Keganasan banyak mencatatkan kematian ialah di Nineva, yang mencatatkan peningkatan kematian sebanyak 143 peratus.

Baghdad sebaliknya melihat kejatuhan 39 peratus dalam jumlah kematian pada tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

Lapan bulan pertama 2007 juga menunjukkan jumlah tertinggi serangan bom kereta di Iraq. Laporan IBC mendakwa tahun lepas berlaku 20 serangan bom kereta membunuh lebih 50 orang awam, berbanding 12 serangan pada tahun sebelumnya.

Jumlah kematian dalam operasi membabitkan tentera AS dalam tempoh 12 tahunn lepas juga meningkat daripada di antara 544 dan 623 pada 2006 kepada di antara 868 dan 1,326 pada 2007.

Laporan itu berkata kebanyakan kematian, termasuk 88 kanak-kanak, dikaitkan dengan serangan udara.

Kira-kira 900 tentera AS dan 47 tentera Britain turut terbunuh tahun lalu.

Sementara itu, tiga askar Iraq terbunuh apabila bertindak melemparkan badan mereka ke atas seorang pengebom bunuh diri pada sambutan hari tentera di Baghdad kelmarin, menyelamatkan rakan mereka yang lain daripada turut terkorban.

Polis Iraq berkata sekurang-kurangnya 14 orang terkorban dalam serangan itu.

Sejurus sebelum kejadian, kira-kira 24 askar Iraq berbaris di hadapan bangunan pejabat pertubuhan bukan kerajaan dengan senjata AK-47 diangkat ke udara dan melaung slogan antipengganas seperti "di mana pengganas sekarang?"

Ketika itu pengebom bunuh diri itu muncul meletupkan dirinya membunuh tiga askar Iraq itu bersama masing-masing empat orang polis dan orang awam.

- Agensi/AP