Pelbagai teori tafsir imej misteri
LONDON: Imej misteri di permukaan Marikh yang dirakam kapal angkasa Agensi Petadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika (Nasa), Spirit, mencetuskan semula perdebatan mengenai kemungkinan wujudnya kehidupan di planet itu.
Imej yang dihantar melalui internet menunjukkan makhluk dengan susuk tubuh seakan-akan manusia duduk di atas batu di sebuah kawasan lapang seperti gurun di planet berkenaan.
Berita mengenai penemuan imej misteri di Marikh diperoleh hanya beberapa hari selepas sepasukan saintis Perancis mendakwa mereka menemui bukti planet berwarna merah itu mempunyai sejumlah besar awan ais kering yang berarak di atasnya.
Pasukan itu mendapati kumpulan awan ais itu kadangkala menjadi terlalu tebal sehingga menyebabkan ia mewujudkan bayangan gelap di atas permukaan Marikh yang berdebu.
Ketika sebilangan penulis blog menganggap imej itu sebagai pantulan cahaya, yang lain bertegas imej itu adalah bukti makhluk lain wujud. Imej itu dirakam satu daripada dua robot peninjau Nasa pada akhir tahun lalu.
Apabila robot peninjau mendarat di Marikh pada 24 Januari 2004, imej yang dihantarnya mengecewakan pemerhati angkasa lepas yang berharap dapat melihat petunjuk mengenai kehidupan di planet itu.
Kini mereka berpuas hati imej yang diperoleh memberi bukti yang diharapkan berdasarkan gambar yang dihantar kepada Nasa.
Sementara itu laman web internet dipenuhi dengan kiriman yang mengemukakan pelbagai teori.
Seorang daripada mereka berkata makhluk itu mungkin orang kerdil, manakala yang lain berkata ia mungkin ibu Nabi Isa Siti Maryam.
Seorang penulis blog lagi berkata ia mungkin 'Bigfoot' makhluk berbulu yang dipercayai tinggal di kawasan hutan pergunungan dan pernah dilihat di beberapa bahagian dunia.
Berita Harian