Khamis, 24 Januari 2008

Britney gagal peroleh hak jagaan anak


LOS ANGELES - Bintang pop sensasi, Britney Spears (gambar) gagal memperoleh hak untuk melawat anaknya selepas meninggalkan mahkamah tanpa berjumpa hakim buat kali kedua, lapor sebuah akhbar semalam.

Penyanyi berusia 26 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9 pagi waktu tempatan dengan memakai gaun satin dan kasut berwarna emas, tetapi kemudian dilihat meninggalkan mahkamah kurang 45 minit selepas itu.

Hakim Scott Gordon enggan memberikan hak melawat Sean Preston, 2, dan Jayden James, 1 selepas Speras gagal menjalani penilaian psikiatri.

Pada minggu lepas, Spears turut muncul di Mahkamah Tinggi Los Angeles tetapi menghilangkan diri sebelum perbicaraan bermula.

Selasa lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Opps!... I did it Again itu terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan kereta yang dipandu oleh teman lelakinya yang juga seorang jurugambar paparazi, Adnan Ghalib.

Adnan dan Spears sebelum ini dilaporkan sudah berpisah bagaimanapun mereka dirakam menghabiskan masa bersama di sebuah restoran eksklusif di Malibu, California.

Sementara itu, isteri Adnan, Azlynn Berry memfailkan permohonan untuk berpisah secara sah dengan suaminya.

- Agensi