PENGUMUMAN Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan akan memperkenalkan sistem kemasukan pelbagai dalam pelantikan jawatan pada semua peringkat, termasuk jawatan kanan dan utama, bagi menarik serta mengekalkan kakitangan terbaik dalam perkhidmatan awam, amat dialu-alukan. Ini bermakna pelantikan bagi jawatan utama yang kini diisi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), akan turut dibuka kepada anggota perkhidmatan awam lain seperti pegawai perkhidmatan teknikal, perguruan, tentera dan polis yang berkelayakan. Langkah itu selaras hasrat kerajaan mengambil bakat terbaik untuk perkhidmatan awam. Kerajaan sudah tentu membuat kajian mendalam dengan mengambil kira segala aspek sebelum pengumuman itu dibuat. Cadangan itu sudah pasti memberi harapan baru di kalangan pegawai semua peringkat di pelbagai jabatan, kementerian dan agensinya. Contohnya, dalam bidang perguruan, sistem baru itu akan memberi nafas baru kepada 350,000 guru yang berkhidmat di 10,000 sekolah seluruh negara. Dengan bilangan terlalu ramai dan jawatan kanan terhad, menyebabkan sebahagian besar mereka selama ini terus bersara sebagai guru. Ketika ini hanya 40,000 guru atau kira-kira 11.42 peratus daripada jumlah guru berpeluang memegang jawatan tinggi sama ada di sekolah, jabatan mahupun peringkat kementerian.
Dengan cadangan itu, selain kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus dinikmati kakitangan sektor awam sejak Julai tahun lalu serta pelbagai insentif, menjadi pendorong untuk lebih ramai berkhidmat di sektor awam terutama bukan Bumiputera. Ia juga akan memecah monopoli Bumiputera dalam sektor berkenaan yang kini merekodkan kira-kira 90 peratus penyertaan. Langkah itu turut memberi peluang luas kepada golongan profesional menerajui perkhidmatan awam yang memang sudah menjadi kebiasaan di negara maju. Umum mengetahui peluang kenaikan pangkat pegawai profesional seperti jurutera, doktor, penasihat undang-undang, guru dan juruukur sangat terhad.
Kita berharap langkah membuka peluang kepada golongan profesional memohon jawatan PTD tidak menghadapi tentangan daripada golongan PTD sendiri. Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan sebelum melaksanakan sistem kemasukan pelbagai ialah syarat pengisian jawatan terutama jawatan penting dan kanan. Kita tidak mahu seseorang pegawai paling kanan, berkelayakan dan setia kepada organisasinya selama ini, dinafikan haknya, apabila tiba-tiba pegawai dari organisasi lain diambil mengisi jawatan kanan sama ada berkedudukan nombor satu, dua atau tiga. Ini boleh merendahkan moralnya untuk terus bekerja. Antara pilihan terbaik ialah memberi keutamaan kepada orang dalaman mengisi jawatan penting dan pegawai kanan dari organisasi lain hanya boleh diambil jika tiada yang layak. Semua langkah ini perlu dalam usaha menjadikan perkhidmatan awam kita yang terbaik dan meningkatkan lagi sistem penyampaian awam. Langkah baru itu juga diyakini boleh mengurangkan budaya bodek dan salah laku di dalam perkhidmatan awam. Misalnya, seseorang pegawai kanan terutama Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) akan berusaha untuk mengambil hati pegawai atasan dengan harapan peluangnya untuk naik pangkat akan menjadi lebih mudah, walaupun akan terpaksa 'memijak' kepala pegawai yang lebih senior. Dengan sistem kemasukan pelbagai itu nanti, pegawai kanan yang layak dari sektor /jabatan lain boleh diambil, yang mungkin menidakkan tindakan pegawai yang cuba mempengaruhi ketuanya itu. Ini juga sekali gus akan menutup peluang kepada pegawai atasan mengamalkan pilih kasih.
Berita Harian