Ahad, 13 Januari 2008

Pelabur asing makin yakin kemantapan ekonomi negara


PENANDA aras pasaran saham tempatan, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI), yang melepasi paras 1,500 mata buat pertama kali Jumaat lalu, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara yang berkembang baik. Bursa Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang dengan KLCI melonjak 24.56 mata ke paras tertinggi baru 1,516.22 mata, manakala nilai dagangannya mencatat rekod RM4.355 bilion, pada penutup dagangan. Kejayaan indeks komposit mencapai paras tertinggi membuktikan ada keyakinan terhadap bursa saham dan ekonomi negara sedang berkembang maju. Lonjakan KLCI dan jumlah nilai dagangan yang tinggi itu dibantu kemasukan modal asing besar-besaran. Ia terbukti oleh pengukuhan nilai ringgit yang terus mencatat paras tertinggi baru berbanding dolar Amerika. Sehingga penutup jam 5 petang Jumaat lalu, ringgit diniagakan pada RM3.2570 berbanding AS$1, iaitu paras tertinggi sejak kira-kira 10 tahun lalu. Sejak 10 bulan lalu, mata wang tempatan itu sudah mengukuh hampir 10 peratus, berbanding dolar Amerika. Kemasukan pelabur asing ke pasaran saham tempatan berlaku berikutan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menurunkan kadar faedah di negara berkenaan, menyebabkan pengurus dana beralih ke pasaran yang dilihat sebagai menawarkan potensi pulangan lebih tinggi. Justeru, Bursa Malaysia, antara sasaran mereka kerana mempunyai paling banyak kaunter perladangan sawit terkemuka yang kini mencatat kenaikan berterusan harga komoditi itu. Dengan itu juga sasaran pelabur dan pengurus dana adalah menjurus kepada syarikat berkaitan perladangan iaitu Sime Darby Bhd dan IOI Corporation Bhd.

Kita yakin kenaikan harga saham di Bursa Malaysia mampu berterusan dengan KLCI dijangka terus melonjak untuk mencatat rekod tertinggi baru sebelum menguji paras rintangan 1,600 mata. Pengukuhan sektor peladangan sawit dan telekomunikasi akan membolehkan pasaran saham negara ini mencatatkan prestasi lebih baik daripada pasaran serantau lain. Jika keadaan ini berterusan, unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada kadar enam peratus tahun ini boleh dicapai selepas mengambil kira jangkaan kelembapan eksport berikutan tinjauan ekonomi Amerika Syarikat yang kurang memberangsangkan. Pertumbuhan ekonomi negara tahun ini akan terus dipacu permintaan domestik yang kukuh dengan peningkatan perbelanjaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), terutama projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER).

Peningkatan KLCI itu juga adalah antara hasil langkah kerajaan yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelabur asing ke Malaysia. Seperti kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan akan terus menggalakkannya menerusi pelbagai misi perdagangan di luar negara. Malah, Perdana Menteri turut mempelawa pelabur asing yang berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan perniagaan dan pelaburan mereka di Asean yang mempunyai lebih 500 juta penduduk. Walaupun ada anggapan kenaikan KLCI mempunyai kaitan dengan ura-ura pilihan raya akan diadakan pada masa terdekat, perkembangan positif di Bursa Malaysia itu lebih didorong oleh faktor asas. Sebenarnya, peningkatan itu mencerminkan asas ekonomi Malaysia mantap dan keyakinan pelabur tempatan dan asing terhadap Bursa Malaysia adalah tinggi. Keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara menjadi faktor utama pertumbuhan positif itu, selaras dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan perniagaan dan pelaburan terulung di rantau ini.

Berita Harian