JEDDAH: Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun, selepas dia disyaki membelasah isterinya sehingga mati menggunakan gelas minuman, di hadapan tiga orang anak wanita itu daripada perkahwinan pertamanya.
Polis yang tiba di kediaman mereka menemui wanita berusia 42 tahun itu berlumuran darah akibat kecederaan yang dialami dan disahkan sudah meninggal dunia.
Lelaki itu yang melarikan diri ketika polis tiba ditahan tidak lama kemudian di sebuah pangsapuri di utara Jeddah, dipercayai cuba meninggalkan Arab Saudi.
Seorang pegawai polis berkata pasangan itu pada mulanya dikatakan bertengkar, sebelum si isteri meminta suaminya agar tidak menjerit di hadapan anaknya. Lelaki itu bagaimanapun bertindak menyerang isterinya dengan memukul kepalanya menggunakan gelas minuman menyebabkan dia cedera parah.
“Ketika ditahan lelaki terbabit kelihatan amat gementar dan kebingungan menyebabkan kami sukar menyoalnya dan terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan. Kami akan menyoalnya kemudian,” katanya.
Penjaga bangunan tempat pasangan itu tinggal berkata, jiran mereka tidak gembira dengan kehadiran lelaki itu kerana sikapnya yang suka meminjam wang daripada mereka dan tidak memulangkannya.
- Agensi