Ahad, 13 Januari 2008

‘Hantu Diana’ ganggu bekas kekasih


Dr. Hasnat Khan

LONDON – Bekas kekasih Puteri Diana, Dr. Hasnat Khan sudah berpisah dengan isterinya dan beliau tidak dapat melupakan kenangan indahnya bersama Diana, lapor sebuah akhbar semalam.

Perkahwinan doktor itu dengan Hadia Sher Ali yang berumur 29 tahun kekal selama 20 bulan dan ia berakhir menjelang perayaan Krismas.

Dr. Hasnat yang berumur 47 tahun itu pernah dianggap oleh Diana sebagai cinta dalam kehidupannya.

Beliau dan Hadia kini tinggal berasingan dan seorang rakan keluarga mereka menyatakan bahawa ‘hantu Diana’ tidak pernah meninggalkan dirinya.

“Dr. Hasnat memang menyintai isteri barunya tetapi adalah tidak munasabah bagi menggantikan tempat puteri berkenaan walaupun Diana sudah meninggal dunia sepuluh tahun lalu akibat kemalangan jalan raya di Paris,” katanya.

“Inkues kematian Diana itu menyebabkan ingatannya terhadap Diana kembali semula.

“Ia menyebabkan perkahwinan menjadi tegang dan itulah punca perkahwinan itu berakhir,” tambahnya.

Dr. Hasnat bercinta dengan Diana selepas bertemu di Hospital Diraja Brompton sebelum Dodi A-Fayed menjalin hubungan dengan puteri itu pada 1997.

– Agensi