AKTA Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda bagi membolehkan polis mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelumba haram serta menyita kenderaan yang terbabit dalam gejala itu. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Hamza Taib, menyatakan pindaan itu perlu supaya undang-undang berkaitan lebih jelas dan dapat memerangi kegiatan lumba haram secara berkesan. Undang-undang sedia ada terlalu umum dan tidak memberi definisi jelas serta maksud sebenar lumba haram. Sekarang mereka yang terbabit dengan lumba haram hanya boleh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Malah, undang-undang sekarang juga tidak mempunyai definisi khusus bagi pelumba haram atau ‘mat rempit’ sekali gus tidak mempunyai peruntukan hukuman lebih berat terhadap kumpulan itu. Seksyen 42 (1) APJ 1987 yang diguna pakai untuk mendakwa pelumba haram ketika ini hanya boleh mengenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan. Keadaan ini mungkin menyebabkan golongan itu tidak serik dan sejak kebelakangan ini, tindak-tanduk mat rempit semakin keterlaluan seperti memukul polis, selain merempuh kereta peronda, menggunakan kekerasan terhadap pemandu wanita, mencederakan pengguna jalan raya lain dan banyak lagi. Kehadiran mereka ini, apatah lagi dalam kelompok yang besar, benar-benar mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi motosikal yang bising pada tengah malam atau awal pagi.
Memang wajar hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka. Bukit Aman sudah menghantar kertas cadangan bagi meminda undang-undang itu kepada Kementerian Pengangkutan yang diharap diluluskan bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada pelumba haram. Antara kandungan cadangan itu ialah memperincikan tindakan serta hukuman yang boleh diambil terhadap pelumba haram seperti memberi kuasa kepada polis menyita kenderaan mereka. Mungkin elok juga jika dimasukkan cadangan memanggil ibu bapa mat rempit yang ditahan polis untuk memberi amaran, dan jika boleh tindakan yang sewajarnya dikenakan supaya mereka tidak mengabaikan tanggungjawab mengawasi kegiatan anak masing-masing. Berdasarkan statistik Bukit Aman, sepanjang tahun lalu 766 orang ditahan dan 35,353 saman dikeluarkan bersabit kegiatan lumba haram. Memang tepat pindaan itu dilakukan dalam usaha membanteras gejala lumba haram membabitkan mat rempit kerana undang-undang sedia ada kurang berkesan untuk menangani masalah sosial yang semakin berleluasa itu. Langkah penguatkuasaan seperti menyita kenderaan pesalah sememangnya bijak kerana golongan ini seolah-olah tidak hairan atau takut dengan undang-undang sekarang. Pindaan undang-undang itu sekurang-kurangnya membuatkan mat rempit berfikir panjang sebelum berlumba dan membuat pelbagai ‘aksi maut’.
Kita sedih kerana segala kempen kesedaran yang dijalankan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membendung gejala ini tidak berkesan. Malah kegiatan lumba haram itu juga menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan di jalan raya. Statistik menunjukkan sepanjang tahun lalu penunggang dan pembonceng motosikal terus menjadi golongan paling ramai terkorban di jalan raya dengan 3,639 kes, manakala kereta (1,262), pejalan kaki (636), lori (203), basikal (190), van (132), bas (75) dan kenderaan lain (168). Kadar kemalangan jalan raya secara keseluruhan meningkat daripada 341,252 kes pada 2006 kepada 363,314 kes tahun lalu. Bagaimanapun, kemalangan maut menurun daripada 5,719 kes kepada 5,670 kes.
Berita Harian