LONDON: Penyelidik yang menjalankan kajian mengenai pewangi memberi amaran kepada wanita yang meminati pewangi kerana penggunaan terlalu banyak bahan itu adalah antara tanda mereka sedang mengalami kemurungan.
Penyelidik berkenaan mendapati wanita yang memakai pewangi berbau kuat adalah mereka yang secara klinikal, sedang menghadapi kemurungan berikutan semakin tidak sensitif terhadap bau, kata akhbar The Daily Telegraph, kelmarin.
“Penemuan saintifik kami juga mendapati wanita yang murung juga menghadapi masalah kurang daya bau dan cuba mengatasinya dengan menggunakan lebih banyak pewangi,” kata ketua penyelidik itu Profesor Yehuda Shoenfeld.
Beliau berkata, sesetengah penyakit menyebabkan tubuh menyerang sistem olfaktori dan mengakibatkan ia gagal mengesan bau.
“Keadaan ini bermakna kekurangan deria bau mungkin menjadi isyarat kepada penyakit lain yang lebih serius,” katanya.
Shoenfeld berkata, kemurungan mungkin berpunca daripada masalah biologi berbanding psikologi.
“Kami juga percaya kemurungan mempunyai sebab biologi dan mungkin juga tindak balas sistem imunisasi terhadap tubuh,” katanya.
- Agensi