Isnin, 14 Januari 2008

Rasuah antara punca alam sekitar terabai


BANGKOK: Sekumpulan peguam mendakwa gejala rasuah dan kurangnya usaha politik adalah antara faktor yang menjejaskan rancangan menguatkuasakan undang-undang melindungi alam sekitar di rantau Asia Pasifik.

Bercakap pada satu persidangan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mereka mendakwa biarpun beberapa negara seperti Australia dan India mewujudkan mahkamah khas berhubung isu alam sekitar, campur tangan dan kekangan politik sebaliknya menyukarkan usaha pemulihan alam sekitar.

“Keadaannya amat menyedihkan. Kita ada peraturan tetapi malangnya, sukar dipatuhi,” kata M C Mehta, peguam India yang bertugas di Mahkamah Agung New Delhi.

Mehta dan beberapa peguam lain bercakap di samping satu persidangan alam sekitar Asia Pasifik di Bangkok, semalam. Lebih 85 hakim, peguam dan pegawai kerajaan daripada 40 negara menghadiri persidangan berakhir esok.

Antonio Oposa Jr, peguam alam sekitar di Filipina menyifatkan kerajaannya lebih mengutamakan pembangunan ekonomi dan pihak berkuasa terpaksa mencari jalan penyelesaian lain yang membabitkan wang.

“Tiada satu peratus pun daripada 200 peraturan alam sekitar itu yang dapat dikuatkuasakan,” kata Oposa.

“Kakitangan kerajaan tempatan, jika tidak semua pun, yang tidak menyedari peraturan berkenaan, semata-mata kerana sikap tidak ambil pusing,” katanya.

- AP