PERKEMBANGAN pesat sains dan teknologi banyak membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas dengan lebih efisien. Jadi, tidak hairanlah beberapa kes jenayah termasuk profil tinggi berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.
Pendekatan saintifik menerusi bantuan sains forensik terutama untuk mengenal pasti Asid Deoksiribonukleik (DNA) sudah menjadi keperluan dalam penyiasatan ke atas jenayah serius.
Siasatan terperinci dan menyeluruh bagi mencari bahan bukti kes dilakukan pegawai dan anggota Makmal Forensik PDRM.
Makmal Forensik PDRM berharga RM45 juta itu terletak dalam kawasan Maktab PDRM, Cheras, yang berfungsi menganalisis bahan bukti kes dihantar oleh pegawai penyiasat dari seluruh negara, adalah antara paling canggih di Asia dan beroperasi mulai April 2002.
Makmal berkenaan dilengkapi peralatan berteknologi tinggi antaranya 'DNA Analyzer and Profiler', 'Ballistic Scanner and Identification System','Gas Choromatography Mass Spectrometer serta 'Crime Scene Investigation.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Forensik), Datuk Abdul Malek Haron, berkata, menerusi kaedah sains forensik yang diiktiraf dunia, ia banyak membantu polis melengkapkan dan menyelesaikan siasatan.
"Sejak ditubuhkan tahun 2002, Makmal Forensik mencatatkan peningkatan mendadak dari segi jumlah kes dirujuk dan disiasat. Ia membuktikan siasatan menggunakan pendekatan sains forensik diterima secara meluas dalam setiap penyiasatan kes jenayah di negara ini.
"Di bawah forensik ini terdapat beberapa bahagian seperti CSI, analisis DNA, analisis komputer, pemeriksaan cap jari, kenderaan, ujian balistik, pemeriksaan dokumen, dadah dan unit skuba," katanya.
Beliau berkata, antara bahagian yang paling kerap dirujuk ialah di seksyen cap jari berperanan membantu siasatan di tempat kejadian jenayah dengan menggunakan pangkalan data satu sistem khas.
"Tugas seksyen ini ialah mengesan dan menimbulkan cap jari serta merakamnya di tempat kejadian. Cap jari yang sudah dirakam itu akan dibandingkan dengan rekod cap jari yang tersimpan dalam pangkalan data Malaysian Automated Finger Print System (MAFIS).
"Cap jari tidak boleh diubah dan setiap individu mempunyai cap jari berlainan. Oleh itu, polis dengan mudah mengesan penjenayah berdasarkan kesan cap jari berikutan ia tidak sama dan kekal serta rekodnya ada dalam simpanan MAFIS," katanya.
Bagi seksyen Balistik pula, katanya, seksyen itu terbabit dalam penyiasatan kes berkaitan senjata api. Dalam sebarang kejadian jenayah membabitkan senjata api, kelongsong serta anak peluru akan di bawa ke makmal berkenaan untuk ujian.
"Makmal ini akan melakukan ujian balistik yang mana kelongsong akan diuji untuk mendapatkan maklumat mengenai jenis senjata yang digunakan, aspek jarak tembakan. Melalui ujian berkenaan, polis boleh tahu ketinggian penembak, saiz badannya serta kedudukan tembakan dilepaskan," katanya.
Beliau berkata, tiga peralatan khas digunakan untuk menjalankan ujian balistik berkenaan, iaitu Drug Fire System (DFS) buatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat, mikroskop perbandingan dan mikroskop Leica DMC.
Selain itu, katanya, antara seksyen paling penting ialah CSI iaitu unit berkait rapat dengan kejadian jenayah yang memerlukan unit berkenaan menyiasat punca kejadian dan kaedah penyiasatan forensik dalam mengenal pasti mangsa atau penjenayah.
"Selain mencari bahan bukti pihak CSI juga berperanan dalam mendokumentasikan dan mengumpulkan bahan bukti untuk dibawa ke makmal forensik untuk membuat pengecaman terhadap bahan bukti itu.
"Peranan yang dimainkan unit ini secara langsung membantu mengurangkan tugas pegawai penyiasat atau risikan supaya lebih cepat untuk mengesan penjenayah," katanya.
Oleh Norakmah Mat Youb
Berita Harian