LONDON: Pelajar perubatan adalah yang terbanyak menjalin hubungan asmara berbanding pelajar jurusan lain, menurut tinjauan yang dipetik akhbar di sini, semalam. Pada masa sama, tinjauan itu juga mendapati, kolej yang pelajarnya banyak terbabit dalam hubungan seks adalah yang paling teruk dari segi pencapaian akademik. Tinjauan membabitkan lebih 1,000 pelajar di Universiti Cambridge mendapati, pelajar perubatan secara puratanya ada lapan kekasih di ranjang.
Pemimpin persatuan pelajar universiti itu, Mark fletcher memberitahu akhbar Varsity, keputusan tinjauan berkenaan tidak mengejutkan. Bagi profesor psikologi di Universiti Lancaster, Cary Cooper, beliau berpendapat: “Orang yang banyak bersosial juga kurang memberi tumpuan kepada pelajaran. “Orang yang banyak melakukan asmara bukan saja memberi tumpuan untuk lebih banyak melakukannya, mereka juga menghadapi tekanan apabila hubungan itu tamat. Ia boleh menjejaskan tumpuan mereka.”
Tinjauan akhbar universiti itu juga mendapati, pelajar jurusan agama paling kurang dengan purata dua kekasih di ranjang. Pelajar sains politik pula tujuh, pelajar bahasa (6) dan pelajar sejarah ada enam kekasih seksual, lapor The Telegraph. Tinjauan itu dilakukan beberapa bulan selepas pelajar Cambridge didakwa terbabit dalam industri pelacuran dengan bekerja sebagai penari bogel dan ‘pengiring’ untuk mendapat duit poket. Selain itu, kira-kira 25 peratus responden mengaku terbabit dalam hubungan seks ganas; 40 peratus melakukan hubungan asmara sekali saja dan lebih 60 peratus tidak pernah menjalani pemeriksaan sama ada menghidap penyakit jangkitan seks.
- Agensi