PEMERGIAN presiden kedua Indonesia, Suharto, ke Rahmatullah kelmarin, meninggalkan legasi cukup besar bukan saja kepada rakyat republik itu, malah tempiasnya meliputi penduduk Asia Tenggara, terutama negara tetangga. Walaupun media Barat mengecam dan menggelarnya diktator, hakikat yang perlu diterima ialah beliau bertanggungjawab membangunkan Indonesia selepas republik itu hampir hancur akibat pemberontakan komunis. Suharto yang melepaskan jawatan Presiden pada 1998 ketika kemuncak pergolakan akibat krisis mata wang antarabangsa, memimpin Indonesia selama 32 tahun, sekali gus mencatat sejarah pemimpin paling lama berkuasa bukan saja di republik itu tetapi di dunia selepas Fidel Castro. Pandangan bahawa beliau memerintah secara kuku besi seperti didakwa Barat masih boleh diperdebatkan tetapi hakikat bahawa Suharto adalah bapa pembangunan Indonesia tidak boleh dinafikan. Malah, Malaysia sendiri pada peringkat awal pembangunannya turut mencontohi Indonesia serta mengambil ramai pakar termasuk doktor dan pendidik dari republik itu untuk berkhidmat di Malaysia. Ketika kepemimpinannya, Suharto, turut mempengaruhi dasar serantau dan antarabangsa.
Dari segi hubungan dua hala, Malaysia pada dasarnya terhutang budi dengan Suharto kerana beliaulah menamatkan konfrontasi tiga tahun akibat slogan ‘Ganyang Malaysia’ oleh Sukarno, sejurus selepas kemasukan Sabah dan Sarawak pada 1963. Langkah Suharto itu membebaskan Malaysia dari ancaman luar dan membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan sehingga rakyat negara ini menikmati apa yang dikecapi mereka sekarang. Tidak hairanlah, beberapa pemimpin kita menyifatkan kematian Suharto suatu kehilangan besar kerana Allahyarham antara tokoh penting yang membuka lembaran baru hubungan Malaysia - Indonesia. Suharto disifatkan pemimpin yang bertanggungjawab menamatkan konfrontasi dengan Malaysia, selain membantu menghapuskan ancaman komunis terhadap Malaysia. Ketika pemerintahan Suharto, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia berada pada tahap terbaik, sehingga wujud persefahaman bukan saja di kalangan pemimpin kedua-dua negara, malah menjangkau pemimpin peringkat bawahan dan rakyat yang berusaha mengekalkan hubungan baik supaya kerjasama memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Suharto turut mempengaruhi penubuhan Asean pada 1967 dalam usaha mengekang pengaruh teori domino berikutan penguasaan komunis di Indo-China selepas kekalahan tentera Amerika Syarikat di Vietnam. Beliau juga adalah antara pengasas Asean, yang mahu melihat keamanan di negara rantau Asia Tenggara bagi membolehkan pembangunan dan kemakmuran dicapai.
Walaupun ramai pengkritik mengaitkan Suharto ketika pemerintahannya melakukan pelanggaran hak asasi manusia terutama di Timor Leste dan Aceh serta kematian beribu-ribu penyokong Parti Komunis Indonesia (PKI) ketika operasi penghapusan komunis, jasanya membangun sebuah negara miskin seperti Indonesia terlalu besar. Kerana itulah kematiannya kelmarin masih diratapi oleh jutaan rakyat republik itu dan turut dirasai pemimpin dan rakyat rantau ini. Kita akui sesiapa saja pemimpin yang memerintah Indonesia akan menghadapi pelbagai cabaran, apa lagi negara itu cukup besar, meliputi 17,508 pulau dan rakyatnya begitu ramai iaitu 245 juta dengan belasan bangsa dan etnik utama. Dengan latar belakang seperti itu, demokrasi terpimpin seperti diamalkan Suharto ternyata lebih berkesan daripada demokrasi Barat yang memberi sepenuh kebebasan kepada rakyat.
Berita Harian