Isnin, 28 Januari 2008

Tidak sesuai di bandar


"OPERASI stesen minyak di kawasan yang berpenduduk padat perlu sentiasa memastikan tahap keselamatan berada pada peringkat terbaik. - Gambar hiasan"

KEUNTUNGAN daripada kawasan strategik merupakan antara faktor utama hampir 40 peratus stesen minyak di seluruh negara dibina di kawasan pusat bandar dan lebuh raya.

Namun, keadaan tersebut amat jauh daripada elemen keselamatan sekiranya berlaku kebakaran yang akhirnya membawa bencana besar.

Menurut Profesor Madya Dr. Amir Fawzi Bahaudin, pembinaan stesen minyak di dalam kawasan bandar dan berpenduduk padat secara dasarnya tidak 'dibenarkan'.

Tambah pensyarah Jabatan Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini, banyak faktor perlu diperhalusi sebelum pembinaan sesebuah stesen minyak diluluskan.

"Memang ada kewajaran stesen minyak dibina di kawasan ramai penduduk kerana ada keperluan mendesak di situ. Namun faktor keselamatan masyarakat sekitar juga harus diambil kira," katanya ketika dihubungi KOSMO! Ahad.

Pemilihan lokasi yang tepat dan mengikuti spesifikasi perancangan bandar harus diambil kira oleh pengusaha untuk mengurangkan risiko sekiranya bencana berlaku.

"Radius letupan dan kebakaran di stesen minyak selalunya besar dan sukar untuk dikawal. Disebabkan inilah dinasihatkan pembinaan stesen minyak dilakukan di pinggir sesuatu kawasan," katanya.

Dalam pada itu, trend menjadikan stesen minyak sebagai pasar raya mini secara tidak langsung menambahkan lagi risiko tempat tersebut.

Mengambil contoh kewujudan kedai malah restoran makanan segera, keadaan ini amat berbahaya dari segi kesihatan dan keselamatan.

"Mungkin ramai tidak sedar, aktiviti memasak dengan menggunakan ketuhar gelombang mikro, tong gas dan alatan panas lain hanya mengundang padah terutama di kawasan berisiko tinggi ini," jelas Amir Fawzi lagi.

Malah, wap gas yang terbentuk di stesen minyak juga berpotensi memudaratkan kesihatan terutama pada penduduk sekitar yang mengalami masalah paru-paru, pernafasan dan jantung serta darah.

"Justeru, satu piawaian yang ketat harus dilakukan bagi mengurangkan risiko di stesen minyak tanpa menjejaskan kedua-dua pihak," katanya.

Kosmo!