Kedai mini, restoran jadi 'pertaruhan' bahaya tanpa disedari
"MASIH ramai lagi pengguna yang tidak sedar bahaya penggunaan telefon bimbit dekat pam minyak yang boleh mencetuskan risiko kebakaran. - Gambar hiasan"
ANDAINYA ada yang mengatakan pengguna stesen minyak lalai dan cuai, tinjauan KOSMO! Ahad mendapati realiti keadaan lebih buruk dan menakutkan.
Pemerhatian di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang mendapati ada petugas yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keselamatan, turut kelihatan lalai.
Sekiranya pengguna dilihat 'bergayut' berbual menggunakan telefon bimbit, penggunaan walkie talkie yang berisiko di kalangan pekerja pula turut berleluasa tanpa menyedari bahaya yang menanti.
Pemerhatian KOSMO! Ahad juga mendapati ada sesetengah petugas langsung tidak menghiraukan pengguna yang mengisi minyak tanpa mematikan enjin terlebih dahulu.
Lebih memburukkan keadaan, ketiadaan alat pemadam api di pam minyak dan pengesan kebakaran memperlihatkan ramai petugas malah pengusaha petroleum ini bersikap 'pejam mata'.
Tidak terkecuali, kedudukan stor penyimpanan minyak yang hampir dengan tempat mengisi minyak secara tidak langsung mendedahkan pengguna kepada risiko pemeluawapan gas.
Di samping itu, kunjungan KOSMO! Ahad ke beberapa stesen minyak yang turut mempunyai restoran makanan segera juga menemui beberapa perkara yang seharusnya diambil perhatian.
Menjengah di ruang belakang, dapur memasak dan tong gas yang terletak berhampiran tempat penyimpanan minyak serta panas menjadikannya tidak ubah umpama 'bom masa'.
Di kedai mini pula, penjualan barangan berunsurkan aerosol seperti penyembur serangga, pewangi dan bahan pencuci juga dilihat berpotensi memberi risiko.
Ditambah pula dengan kesesakan kenderaan dan cuaca panas, nyata ia mampu membawa bencana kepada masyarakat sekeliling.
Justeru, kewujudan sebanyak 3,098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40 peratus daripadanya, terutama di bandar besar dan lebuh raya, pastinya ada sesuatu yang boleh dibuat bagi mengurangkan risiko kepada pengguna.
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
Kosmo!