
LOS ANGELES – Penyanyi terkenal, Britney Spears akan diminta menutup kepalanya dengan purdah dan memakai pakaian Islam ketika dia berkahwin dengan paparrazi, Adnan Ghalib, lapor sebuah akhbar semalam.
Spears merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan Adnan yang merupakan anak kepada pasangan suami isteri kelahiran Pakistan tetapi menetap di Britain.
Penyanyi itu yang terkenal dengan lagu Toxic sudah memberitahu rakan-rakannya rancangannya untuk memakai burka yang hanya menampakkan kedua-dua mata sahaja.
“Dia mahu melakukannya.
“Ia mungkin merupakan satu tanda penghormatan terhadap Adnan dan keluarganya.
“Agama Islam yang dianuti oleh Adnan mungkin menjadi penyelamat Spears,” kata seorang rakannya.
Beberapa rakan percaya bahawa pasangan itu merancang untuk mendirikan rumah tangga ketika melakukan lawatan ke Mexico pada minggu lalu tetapi ia terpaksa ditangguhkan.
Penyanyi itu sebelum ini dilanda dengan pellbagai masalah peribadi selepas bercerai dengan seorang penari terkenal, Kevin Federline.
Baru-baru ini, dia yang berada di rumah miliknya di Los Angeles enggan menyerahkan dua anaknya kepada Federline yang memperoleh hak penjagaan daripada mahkamah.
Dalam insiden itu, penyanyi yang berumur 26 tahun itu bertindak kasar sehingga dia terpaksa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, berlaku perdebatan di kalangan wanita Pakistan kerana kebanyakan lelaki kelahiran negara tersebut kerap menjadi idaman dan berkahwin dengan wanita terkenal dari Barat.
Sebelum ini, selebriti Britain, Jemima Khan mendirikan rumah tangga dengan pemain kriket terkenal, Pakistan, Imran Khan sebelum mereka bercerai.
Mendiang puteri Diana juga pernah bercinta dengan seorang doktor kelahiran Pakistan yang menetap di Britain, Dr. Hasnat Khan.
“Saya berpendapat, lelaki Pakistan lebih komited dan Spears adalah contoh terbaik di mana dia boleh bercinta dengan sesiapa sahaja tetapi Jemima dan Diana juga pernah jatuh cinta dengan lelaki dari Pakistan,” kata seorang wanita, Sehr Naqvi.
– Agensi