Rabu, 23 Januari 2008

Spice Girls kaut RM319 juta di London


LONDON - Anggota kumpulan Spice Girls memperoleh bayaran sebanyak £10 juta (RM64 juta) setiap seorang selepas konsert mereka selama 17 hari di London mendapat sambutan luar biasa.

Kumpulan itu yang bergabung semula selepas beberapa tahun berpecah membuat persembahan terakhir mereka di London.

Lima anggota kumpulan Spice Girls iaitu Victoria Beckham, Emma Bunton, Melanie Brown, Melanie Chisholm dan Geri Halliwell membahagikan bayaran sebanyak £50 juta (RM319 juta) yang diterima mereka.

Konsert kumpulan itu juga dianggap satu kejayaan luar biasa di Britain apabila kesemua tiket yang berharga mahal habis dijual.

Tiket persembahan kumpulan itu juga dianggap sebagai paling mahal di Britain tetapi hampir 400,000 penonton sanggup membeli tiket berharga sehingga £75 (RM479) itu.

Mereka juga dianggap sebagai artis yang memperoleh keuntungan yang paling tinggi selepas membuat persembahan di London.

- Agensi