Ahad, 6 Januari 2008

Usah sampai akal budi dikorban


Prinsip agama, tradisi tak boleh diketepi dalam keghairahan mengejar kemajuan

DI LUAR negara, dua peristiwa besar akan berlaku tahun ini. Pertama, pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan kedua Sukan Olimpik di Beijing, China. Siapapun yang menjadi Presiden AS akan menentukan AS yang bagaimana akan mendominasi dunia untuk beberapa tahun lagi. Bagaimanapun kita sedar siapapun yang terpilih sebagai presiden tidak akan mengubah dasar luar AS.

Olimpik Beijing adalah peristiwa penting bagi negara China, raksasa ekonomi baru dunia. China berdepan dengan pelbagai masalah dari segi imej, maka itu Olimpik kali ini akan memberikan peluang negara itu menunjukkan wajahnya yang sebenar. Olimpik yang ketiga dihoskan oleh negara Asia ini juga penting bagi menunjukkan kemampuan Asia. Kali pertama negara Asia menjadi tuan rumah sukan itu - Jepun pada 1964 - negara itu sebenarnya mahu membuktikan keupayaan teknologinya 19 tahun selepas kekalahannya di medan perang. Pada 1988, Korea Selatan pula menunjukkan belangnya sebagai harimau ekonomi baru apabila Seoul menjadi tuan rumah sukan itu.

China bukan saja mengharapkan akan merebut sekurang-kurangnya 45 pingat emas (di Athens mereka memperoleh 32 emas), tetapi juga mahu memperagakan pertumbuhan fizikal di Beijing dan kota raya lainnya. Kita bercakap mengenai China hanya dalam nada kekaguman - penduduknya seramai 1.3 bilion, bilangan kelas menengah paling ramai untuk mana-mana negara di dunia, potensi untuk mengalahkan AS sebagai kuasa ekonomi pada 2050, jualan runcitnya masa ini bernilai RM2.2 trilion setahun, pengguna bahan mentah dunia yang terbesar dan macam-macam lagi.

Di tengah keresahan, kekhuatiran dan pelbagai ancaman keselamatan, perhatian dunia akan tertumpu ke Beijing pada musim panas ini. Olimpik adalah sukan yang melampaui negara, bangsa dan agama. Seperti juga sukan popular seperti bola sepak, pesta sukan seperti Olimpik akan menjadikan dunia sekurang-kurang berhenti sejenak daripada berperang, berkrisis dan bertelagah. Sukan lebih berkesan daripada sebarang perundingan dan usaha diplomasi. Sukan menggunakan satu bahasa, dan bahasa yang jujur dan tidak bermuka-muka.

2008 akan juga dicorakkan oleh musibah yang datang dari kenaikan harga minyak. Rabu baru lalu, harga setong minyak mentah mencecah seratus dolar, yang tertinggi sejak 1870. Sejak Ogos lalu kenaikan harga minyak mentah melebihi 44 peratus. Kesannya akan dirasakan di mana-mana. Tekanan pada kerajaan di dunia yang masih mengamalkan dasar subsidi akan lebih hebat - termasuk Malaysia yang membelanjakan lebih RM35 bilion setahun untuk tujuan itu.

Akibat kenaikan harga minyak boleh menyebabkan keadaan ekonomi dunia tidak menentu. Banyak negara tidak akan dapat mengawal kenaikan harga barang. Golongan termiskin akan menerima padahnya. Kenaikan ini sekiranya tidak dikawal akan menyebabkan banyak krisis dalaman. Salah siapakah hingga berlakunya kenaikan melampau harga minyak mentah sedangkan kita tahu minyak masih melimpah di perut bumi?

Pada masa sama dunia sedang berdepan dengan ancaman keganasan dalam pelbagai bentuk. Memang generasi baru pengganas tidak mengenal bangsa atau agama. Keganasan dilakukan bukan saja atas alasan agama. Keganasan datang dalam pelbagai cara. Tetapi ancaman keganasan juga dijadikan alasan untuk mengekang hak asasi dan membunuh kebebasan bersuara. Negara yang paling lantang menyuarakan bantahan terhadap sebarang dasar yang dikatakan mengurangkan kebebasan dan hak asasi mulai menggunakan akta yang lebih kurang sama atas alasan menentang terorisme. Dasar seksaan, penahanan tanpa proses keadilan dan menghantar orang disyaki ke negara-negara ‘sekutu’ menjadi kaedah baru yang diterima pakai oleh negara seperti AS.

Isu bangsa dan agama semakin jelas memisahkan manusia. Fundamentalisme tidak berlaku di dalam masyarakat Islam saja. Banyak penganut agama lain mendekati agama mereka dengan cara yang fanatik dan menolak hakikat kewujudan agama lain. Malah ada kecenderungan bahawa fanatisme agama akan menyebabkan banyak krisis malah pertumpahan darah pada 2008. Nasionalisme selalunya menjadi alasan untuk menolak ‘orang lain’ malah untuk melaksanakan dasar pembersihan etnik baik secara halus atau terang-terangan. Malang sekali, dalam dunia yang semakin terbuka sempadan dan ruang, manusia sebenarnya semakin berfikiran sempit dan berjiwa kolot.

Di manakah kita pada 2008 ini? Tahun baru ini kita dikejutkan dengan apa yang berlaku pada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Beliau seorang manusia biasa yang punya banyak kelemahan. Tetapi beliau juga seorang menteri yang berdedikasi dan rajin. Ada yang berpendapat bahawa soal peribadi tidak harus diseret ke tengah khalayak. Tetapi beliau seorang pemimpin, pemimpin dinilai bukan saja kerana prestasinya memimpin tetapi akhlaknya juga. Beliau mengundurkan diri secara dramatik daripada semua jawatan yang dipegangnya dalam politik. Langkah yang sebenarnya amat jujur. Biarlah episod itu menjadi peringatan pada semua.

Terlalu banyak yang memerlukan perhatian kita tahun ini. Nampaknya setiap hari berisi drama dan ceritanya di negara ini. Demikian juga tidak akan ada hari yang tidak memerlukan perhatian pimpinan kita dalam semua hal. Kita bercita-cita besar untuk menjadi negara maju pada 2020. Kita punya masa 12 tahun untuk sampai ke tahun itu.

Tentulah persediaan kita tidak sekadar memastikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan rancak. Tentulah tidak setakat menyediakan prasarana yang kita gahkan sebagai ‘bertaraf dunia’. Tentu juga kita tidak saja bercakap mengenai ‘pembangunan’ menggunakan kayu ukur tahun 50-an dan 60-an untuk mengabui mata rakyat.

Kerajaan harus mempunyai dasar yang jelas untuk menjamin kemakmuran bersama. Tidak ada maknanya kita bercakap mengenai kerancakan ekonomi sekiranya masih berleluasa kemiskinan di kalangan rakyat. Tidak ada maknanya pendapatan perkapita yang relatif tinggi berbanding negara lain jikalau kuasa beli ringgit semakin merosot. Tidak ada maknanya kita berbangga dengan segelintir Orang Kaya Baru (OKB), kalau rakyat berpendapatan rendah rata-rata bertarung dengan kenaikan harga barang yang melampau.

Kerajaan mewujudkan koridor pembangunan baru dengan harapan kemakmuran akan tersebar dan kuih ekonomi dapat dikongsi secara meluas. Kita tidak boleh menumpukan hanya pada pertumbuhan di bandar-bandar utama. Penghijrahan dari desa ke kota harus dikawal dengan melahirkan kawasan pertumbuhan ekonomi yang baru. Dispariti pendapatan antara kota dan desa harus ditangani. Lebih penting lagi dispariti pendapatan di antara kaum harus segera diatasi.

Kita boleh menyalahkan mana-mana kaum yang berasa terpinggir daripada arus perubahan dan kejayaan. Tetapi kemiskinan tidak mengenal kaum. Maka itu usaha yang berkesan harus dilakukan bagi memastikan semua kaum mendapat pembelaan dari segi ekonomi. Tugas membantu mereka yang ketinggalan harus juga dimainkan oleh parti-parti politik kaum tertentu selain peranan golongan cerdik pandai mereka. Soal membasmi kemiskinan akan terus menjadi agenda utama negara ini.

Saya menaruh keyakinan Malaysia tidak akan maju hanya dari segi ekonomi dan pembangunan. Kita mahu melahirkan rakyat yang bertamadun, berwibawa, bermoral tinggi, berjiwa besar dan bersopan santun. Kejayaan ekonomi yang tidak ditunjangi pada kekuatan batin dan tradisi tidak banyak maknanya. Kehebatan tidak banyak maknanya sekiranya kita melupakan suruhan agama masing-masing. Manusia yang berjaya di luar boleh menjadi rosak dan bobrok di dalam.

Lebih mudah membina manusia ekonomi dari melahirkan manusia yang berbudi bahasa. Dalam dunia serba mencabar dan kompetitif, akhlak kadangkala dipinggirkan. Matlamat menghalalkan cara. Ada yang menganggap adab sopan tidak lagi selari dengan semangat persaingan dan globalisasi. Alangkah salahnya pandangan ini. Prinsip agama, akar tradisi dan landasan moral sebenarnya teras pada ketamadunan manusia. Sekiranya itu kita nafikan, kita menafikan usaha ‘membina tamadun dan menjulang martabat bangsa.’

Moga-moga kita dapat bergerak sederap dan selangkah dengan cita-cita yang digariskan sebagai tema Rancangan Malaysia Kesembilan itu. Moga-moga kita mencapai hasrat kita tanpa mengorbankan nilai dan akal budi yang terpuji. Selamat Tahun Baru 2008.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu