Ahad, 3 Februari 2008

Akta baru pastikan pembangunan tiga wilayah lebih terancang


CADANGAN Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membangunkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, secara bersepadu berasaskan sistem, agensi dan pelan yang sama akan menjadikan pentadbiran dan pembangunan di ketiga-tiga kawasan itu lebih seragam. Untuk itu, akta baru akan digubal bagi menggantikan akta lama yang diguna pakai iaitu Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1971, Akta Perbadanan Putrajaya 1995 dan Akta Perbadanan Labuan 2001. Memang sudah tiba waktunya pentadbiran tiga wilayah itu diselaraskan kerana corak pembangunannya selama ini berbeza. Sejarah penubuhan yang berbeza bermula dengan Kuala Lumpur yang menjadi Wilayah Persekutuan pertama pada 1974, diikuti Pulau Labuan pada 1984 dan terakhir Putrajaya pada 2001. Kuala Lumpur yang menjadi pusat pentadbiran negara, sejak sekian lama, sudah hampir tidak boleh dimajukan lagi. Sementara pembangunan di Putrajaya selaku pusat pentadbiran baru Kerajaan Persekutuan lebih terancang, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan Labuan. Kerana itu, Kementerian Wilayah Persekutuan perlu membuat kajian teliti terutama pengalaman pentadbiran yang berbeza selama ini bagi mengurus dan membangunkan wilayah yang mempunyai entiti sama, tetapi berhadapan dengan akta dan tahap pembangunan yang berbeza.

Kita mengalu-alukan konsep pengurusan bandar moden oleh kementerian itu yang memberi penekanan kepada pengurusan bandar raya secara bersepadu untuk memacu pembangunan Wilayah Persekutuan secara mapan dan terurus. Hanya dengan cara itu, seluruh penduduknya dapat mengecapi keamanan, kedamaian dan kemakmuran, baik dari aspek jasmani mahupun rohani. Itulah harapan penduduk bandar raya yang inginkan bandar moden yang sihat dan harmoni. Tekanan hidup di bandar besar terutama Kuala Lumpur memerlukan pendekatan baru. Selain menyediakan kemudahan fizikal kepada warganya, pembangunan rohani mereka turut diperlukan.

Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, penyertaannya pada 1984, memberi kesan kepada pembangunan di kawasan Teluk Brunei membabitkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Kini penduduk Labuan bangga kerana menjadi sebahagian Wilayah Persekutuan, walaupun pada peringkat awalnya, timbul sedikit kekeliruan. Labuan bukan saja muncul sebagai pusat kewangan pesisir pantai terkenal, malah menjadi destinasi pelancongan, pusat industri petroleum dan perkapalan. Putrajaya pula diakui sebagai pusat pentadbiran yang mahu dicontohi oleh negara asing dengan tumpuan pembangunan berterusan yang akan membolehkannya muncul sebagai bandar raya menjelang 2015. Kerajaan mungkin tidak menghadapi masalah untuk menyeragamkan pentadbiran dan pembangunan di Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana kedudukannya berhampiran dan mempunyai konsep pengurusan yang sama. Bagaimanapun, pentadbiran dan pembangunan Labuan agak berbeza kerana ia sebuah pulau yang bergantung kepada industri minyak, pelancongan dan kewangan, selain jumlah penduduknya kecil iaitu kira-kira 60,000.

Pendekatan mungkin berbeza untuk Labuan dan kita percaya Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengambil kira perkara ini dalam perancangannya nanti. Apa yang penting ialah pembangunan tiga wilayah terbabit mempunyai hala tuju serta mampu menghadapi cabaran masa depan. Kita tidak mahu wilayah terbabit hanya gah dari segi pembangunan fizikal, tetapi kekurangan dari segi rohani dan kemanusiaannya. Bangunan pencakar langit dan pembangunan fizikal sesebuah bandar tidak mempunyai sebarang makna jika masih ramai warganya menghadapi masalah kemiskinan, keruntuhan moral, bersikap individualistik dan kehilangan jati diri.

Berita Harian