Biar sejarah menafsir sendiri pemimpin kontroversi selepas era Sukarno
SESIAPA saja boleh mencari salah Allahyarham Presiden Suharto (Pak Harto). Beliau dikatakan diktator, pemimpin korup, malah pesalah jenayah kemanusiaan. Beliau disamakan dengan Nicolas Ceasusscu (Romania), Ferdinand Marcos (Filipina), Idi Amin (Uganda), malah Saddam Hussein (Iraq). Jasa Pak Harto mudah dilupakan. Nama baiknya tercalar. Musuhnya akan mencari setiap kesalahan untuk memburuk-burukkan beliau. Memang pada saat terakhir pemerintahannya, beliau tidak disenangi dan anggota keluarganya dicemuh. Kemarahan dan kebencian terhadap Pak Harto dirasakan daripada kalangan asongan hingga pengamen, daripada seniman hingga sasterawan, daripada kelompok intelektual hingga pimpinan NGO, malah di kalangan rakyat jelata. Lagu popular, karya sastera, malah akronim digunakan untuk mencemar nama Pak Harto dan keluarga.
Lebih malang bagi Pak Harto, krisis ekonomi yang melanda Asia memburukkan lagi keadaan. Ekonomi Indonesia merudum, rupiah hilang 80 peratus nilainya dan rakyat dalam kesusahan. Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) datang dengan penyelesaian yang hanya memburukkan lagi keadaan. Satu daripada imej yang mengaibkan ialah apabila Pengarah Eksekutif IMF, Michael Comdessus berdiri berpeluk tubuh melihat Suharto menandatangani 'pakej pemulihan' IMF untuk Indonesia. Kita tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran Pak Harto ketika itu pastilah itu satu penghinaan bagi pemimpin yang bangga itu. Comdessus masakan faham makna perbuatannya yang dianggap angkuh dan biadab dalam budaya Timur. Formula IMF yang sepatutnya menjadi penawar, merosakkan Indonesia. Negara itu menghadapi krisis lebih buruk. Pak Harto dipersalahkan. Beliau mengundurkan diri ekoran gerakan reformasi rakyat. Kaitan beliau dengan korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) menjadi bahan yang digunakan untuk menumbangkan beliau. Orang terlupa bahawa krisis ekonomi Asia bukan berpunca daripada Pak Harto. Krisis ini menyebabkan kemusnahan kekayaan dan kerosakan bagi hampir semua negara yang terbabit, termasuk negara kita. Secara jujur Asia belum sepenuhnya pulih daripada musibah yang bermula pada 1997 itu. Memang banyak faktor lain yang menyumbang pada krisis itu tetapi kita semua tahu bukan soal fundamental syarikat Asia atau rapuhnya ekonomi masa itu yang menjadi puncanya spekulasi mata wang oleh kelompok yang tamak menjadi pencetusnya.
Pak Harto memerintah selama 32 tahun waktu yang cukup panjang. Beliau memerintah secara kuku besi bagi memastikan bahawa Indonesia yang terdiri daripada 17,000 pulau itu tetap utuh dan bersatu. Beliau tidak membenarkan sentimen kedaerahan untuk memecahbelahkan negara itu. Gerakan pembebasan mana-mana wilayah akan dihancurkan tanpa belas kasihan. Di tangan Pak Harto, Indonesia menjadi kuat dan bersatu. Pada waktu sama beliau meneruskan usaha pembinaan negara bangsa yang unik bagi Indonesia. Suharto percaya bahawa bangsa Indonesia yang ditunjang oleh Pancasila dan prinsip satu bahasa aneka agama, budaya dan warisan amat penting untuk negara itu. Bangsa Indonesia satu kenyataan dan bukan impian.
Dengan meneruskan konsep 'demokrasi terpimpin' yang dimulakan oleh Sukarno, Pak Harto memberikan acuan demokrasi sesuai untuk Indonesia. Indonesia di bawah Pak Harto menjadi harimau ekonomi Asia. Kemakmuran dirasakan secara menyeluruh dan Indonesia dengan segala keunikan menjadi kuasa ekonomi serantau. Jakarta berkembang menjadi kota yang ditandakan oleh pencakar langit dan gedung perniagaan raksasa. Pak Harto memberikan kemewahan dan kejayaan ekonomi, sesuatu yang tidak mungkin boleh dilakukan pada peringkat awal kemerdekaan Indonesia. Kadar kemiskinan menjunam daripada 60 peratus pada 1970 menjadi 14 peratus pada 1990. Banyak kemajuan dicapai oleh Indonesia di bawah pimpinan Pak Harto. Tidak mudah mentadbir Indonesia sebenarnya. Sukarno meletakkan asas yang kuat. Sukarno bertahan kerana karisme peribadi, retorika dan harapan yang diberikannya. Bagaimanapun, Sukarno menjadi mangsa pada kealpaan dan masalah peribadinya. Indonesia boleh menuju anarki tanpa pimpinan tegas Pak Harto.
Pak Harto juga menyedari peranannya sebagai 'abang besar' di Asia Tenggara. Asean yang ada hari ini adalah sebahagian dedikasi dan komitmennya. Lebih penting lagi Indonesia di bawah pimpinan beliau adalah sahabat sebenar Malaysia. Tidak banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan masa itu dalam konteks hubungan dua hala. Mengambil kira penentangan Sukarno terhadap penubuhan Malaysia pada 1963 dan kempen 'Ganyang Malaysia', hubungan itu pulih secara baik dan menguntungkan kedua-dua pihak. Pak Harto mengambilalih kepemimpinan daripada Sukarno pada waktu yang genting. Parti Komunis Indonesia (PKI) mulai menguasai Sukarno. Pengaruh PKI bukan saja dalam bidang politik tetapi budaya dan sastera. Penulis terkenal Pramoedya Ananta Toer misalnya menjadikan Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) untuk memastikan agar karyawan dan sasterawan tidak 'antirakyat'. Buku dibakar dan sasterawan dihina. Tindakan itu menghantui Pramoedya kemudiannya. Karyawan dan seniman tidak dapat memaafkan Pramoedya kerana pembabitannya dalam Lekra. Pak Harto didakwa bertanggungjawab menahan dan memenjara (selain menjatuhkan hukuman mati) kepada ahli parti komunis dan simpatisan mereka apabila PKI diharamkan. Lebih 200,000 orang ditahan. Orang seperti Pramoedya dibuang ke Pulau Buru. Sentimen kebencian terhadap komunis berpanjangan.
Tindak balas rakyat terhadap mereka juga kejam dan tidak berperikemanusiaan. Anak Kampung Kemusuk dekat kota Jokjakarta yang miskin dan datang daripada ibu bapa yang bercerai ketika beliau masih kecil menghargai makna kemiskinan. Beliau masuk tentera bagi mengubah kehidupannya. Di dalam dunia ketenteraanlah Pak Harto membina kekuatan diri dan kebolehan memimpin. Apabila beliau diberikan amanah untuk memimpin Pasukan Deponogora pada 1962 yang dianggap ketumbukan elit Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Abri), barulah terserlah bakat kepemimpinan sebenarnya. Pada 1 Oktober 1963 berlaku Peristiwa Lubang Buaya apabila tujuh pimpinan tertinggi Abri dibunuh dengan kejam oleh penyokong komunis yang menamakan diri mereka Gerakan 30 September. Mereka yang terbunuh ialah Ahmad Yani, Sutoyo Siswomiharjo, Donald Izacus Panjaitan, Siswondo Parman, R Suproto, MT Haryono dan Pieere Tandean.
Peristiwa Lubang Buaya mengejutkan Indonesia, khususnya tentera. Gerakan rakyat mula terasa. Sukarno mungkin tidak tahu menahu mengenai peristiwa itu tetapi beliau dianggap bertanggungjawab. Indonesia harus hidup dalam pergolakan dan ketidaktentuan itu untuk beberapa tahun lagi. Hanya pada 1967, berlaku pemindahan kuasa daripada Sukarno kepada Pak Harto. Pada 21 Mac 1968 Pak Harto diisytiharkan Presiden Indonesia. Setiap pemimpin mempunyai kelemahan, Pak Harto tidak terkecuali. Beliau bermula sebagai hero rakyat tetapi berakhir sebagai orang yang dimusuhi rakyat. Banyak pihak mengandaikan beliau mengumpulkan kekayaan peribadi bernilai berbilion-bilion ringgit. Anak beliau Siti Hardiyanti Rukmana, Bambang Trihatmoji, Siti Hediati Hariyadi, Hutomo Mandala Putra dan Siti Hutawi Endang Adiningsih dikatakan mengaut kekayaan luar biasa. Sehingga pada saat akhir hayatnya desakan agar disiasat ke mana perginya wang yang digelapkan oleh Pak Harto masih kedengaran. Pada waktu sama terdengar banyak suara bahawa beliau bertanggungjawab ke atas pelanggaran hak asasi manusia, baik dalam mengekalkan kuasa atau ketika gerakan membersihkan komunisme serta usaha mempertahankan Timor Timur (kini Timor Leste). Pak Harto meninggalkan legasi yang luar biasa. Sebahagiannya tidaklah menyenangkan. Bagaimanapun, sumbangannya kepada Indonesia tidak boleh diketepikan. Memang angin perubahan bertiup kencang selepas Pak Harto. Bukan rahsia lagi bahawa kebebasan bersuara dan akhbar cukup hebat di Indonesia pada masa ini.
Sama ada itu prasyarat untuk menjadikan negara itu stabil dan terus makmur akan sama-sama kita lihat. Indonesia mempunyai dua presiden dalam masa 53 tahun sejak kemerdekaannya pada 1945 hingga kejatuhan Pak Harto pada 1998. Dalam masa 10 tahun kebelakangan ini negara itu mempunyai empat presiden. Itu saja sudah menunjukkan betapa taring manusia seperti Sukarno dan Pak Harto.
Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu