Jumaat, 22 Februari 2008

Awang Adek beri kelebihan BN kembali kuasai Kelantan


Datuk Dr Awang Adek Hussin

PELUANG Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah Kelantan, selepas 18 tahun menjadi pembangkang, nampak makin cerah walaupun terpaksa menghadapi kekuatan jentera dan pengaruh Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac ini. Mungkin ramai yang tidak menyedari, BN yang menjadi pembangkang di Kelantan sejak sekian lama, berbeza dengan pembangkang di negeri lain. BN bukan setakat menjadi kuasa pengimbang, malah melebihi kerajaan negeri itu dalam menyalurkan pembangunan kepada rakyat. Inilah keunikan BN yang walaupun menjadi pembangkang, terus membangunkan Kelantan. BN Kelantan juga membayangkan siapa yang akan menjadi Menteri Besar jika menang nanti. Dengan menamakan Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai bakal menteri besar, rakyat Kelantan tidak lagi tertanya siapa bakal yang akan menerajui kerajaan negeri jika BN menang nanti. Langkah itu juga dapat mengurangkan politik dalam BN, khususnya Umno Kelantan, sekiranya ia dapat membentuk kerajaan.

Selepas memenangi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005, jentera BN negeri mengambil pendekatan baru, dengan berusaha keras mendekati penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Hasilnya, majoriti calon BN yang bertanding kali ini, cukup mengenali dan dikenali penduduk serta pengundi di kawasan masing-masing. Kerana itu tidak kedengaran lagi istilah 'cah keting' sejak nama calon diumumkan Khamis lalu. Malah, semua yang hadir pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa itu, bertepuk gembira, memberi petanda awal persefahaman wujud di kalangan pemimpin dan ahli Umno Kelantan. Pemilihan calon yang bertanding juga memenuhi kriteria untuk membolehkan mereka menjadi pentadbir negeri yang baik kerana memiliki kelayakan dalam pelbagai bidang, dari kewangan sehinggalah kepada telekomunikasi. Gabungan pelbagai latar belakang ini dijangka mampu membawa Kelantan maju setanding negeri lain. Inilah harapan Kerajaan Persekutuan ketika melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi memajukan wilayah Pantai Timur Semenanjung termasuk Kelantan.

Personaliti Awang Adek, yang dilihat lebih berdiplomasi dalam tutur kata dan dihormati banyak pihak termasuk di kalangan pembangkang, dijangka memberi kelebihan kepada BN kali ini. Selain mempunyai pengetahuan luas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, beliau juga dijangka mampu menterjemahkan pengalaman sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Penolong Gabenor Bank Negara dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar untuk membangunkan Kelantan. Kesediaan Annuar melepaskan kerusi DUN dan bertanding Parlimen Ketereh selain menyerahkan Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan kepada Awang Adek membuktikan perpaduan dan keazaman Umno Kelantan untuk memastikan kemenangan BN.

Kita percaya inilah peluang terbaik bagi BN untuk kembali memerintah negeri Serambi Makkah itu. Kerana itu, BN Kelantan harus memastikan semua pihak terutama pengundi muda dan atas pagar didekati supaya mereka memberi undi kepada calon BN kali ini. Sebelum pilihan raya, kaji selidik menunjukkan hampir 40 peratus penduduk mahukan BN kembali memerintah selepas pilihan raya kali ini. Ini bermakna BN mempunyai harapan yang cerah. Dalam pada itu, kedudukan 23 Pas – 22 BN, menyebabkan Pas kini berada dalam keadaan cukup tertekan. Jentera parti Pas dijangka menggunakan semua elemen untuk terus menguasai Kelantan. Yang membezakan Pas dan BN ialah strategi masing-masing dalam meyakinkan rakyat negeri itu memihak kepada mereka.

Berita Harian