Khamis, 21 Februari 2008

Dera kerana mangsa dirasuk


Chia Siew Eng

KUALA LUMPUR - Belum dapat dipastikan motifnya, tetapi desas-desus mengatakan, kepercayaan karut seorang lelaki yang mendakwa terdapat 'makhluk halus' di dalam badan anak perempuan teman wanitanya menjadi punca dia mendera kanak-kanak itu sehingga mati kelmarin.

Difahamkan, kejadian di Taman Fadason, Jinjang itu turut mengundang rasa simpati jiran, sekali gus memecahkan persoalan mereka yang kerap mendengar kanak-kanak itu menangis diselangi dengan suara kasar seorang lelaki.

Berdasarkan keterangan jiran, mereka pernah ternampak lelaki berusia 26 tahun itu memukul kanak-kanak tersebut hingga membuatkan mereka tidak sampai hati melihatnya lalu menasihati suspek supaya menghentikannya.

"Ketika ditanya mengapa pukul, dia beritahu ada sifu (guru) memberitahunya yang kanak-kanak itu diganggu 'hantu' dan dia bertindak demikian untuk menghalau keluar makhluk tersebut.

"Kita pun tidak tahu siapa sifu itu dan mengapa lelaki berkenaan mematuhi kata-kata karut tersebut," katanya yang enggan dikenali.

Semalam akhbar melaporkan, Chia Siew Eng, 4, (gambar) mati akibat kecederaan serius di badan, dahi dan paha dipercayai akibat didera.

Sehubungan itu, polis menahan ibu kanak-kanak itu berusia 25 tahun selepas pihak berkuasa mendapati terdapat kekeliruan di dalam laporan yang dibuatnya.

Laporan ibu mangsa mengatakan dia telah membawa anaknya pergi membeli makanan di sebuah kedai di Kepong pukul 10.30 malam dengan meninggalkan anaknya di dalam kereta. Apabila kembali dia mendapati anaknya tidak bernafas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md. Yassin berkata, bedah siasat mendapati terdapat kesan luka di belakang kepala mangsa dipercayai dicucuk dengan benda tajam.

"Selain itu, terdapat juga kesan terbakar di pinggang kanan akibat dicucuh dengan rokok, kesan lebam di badan dan kesan cekik di leher.

"Bagaimanapun, kita masih lagi menyiasat dengan menyoal ibunya yang kini ditahan reman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Tambahnya, pihaknya turut merampas sebilah parang, pistol mainan dan beberapa barang lain yang kemungkinan digunakan teman lelaki wanita tersebut sebagai senjata untuk mendera.

Menurut Ahmad Sofian, siasatan awal pihaknya percaya kanak-kanak tersebut didera sejak seminggu lalu berdasarkan keterangan yang diambil daripada jiran.

"Lelaki itu yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan bekerja sebagai pembaik telefon bimbit, tinggal bersama wanita itu sejak setahun lalu.

"Dia juga dikehendaki polis Batu Pahat kerana dua rekod jenayah iaitu melakukan ugutan jenayah dan curi pada 2005 dan 2006," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui di mana Tey Kian Min (gambar) supaya menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau SMS ke 32728 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
Kosmo!