Mangsa mungkin mengalami kerosakan otak kerana angin ahmar
WASHINGTON: Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat mendakwa waktu malam dan hujung minggu menjadi tempoh paling bahaya bagi penghidap masalah jantung kerana terbukti mencatatkan kes kematian paling kerap akibat serangan jantung berbanding waktu lain. Lebih buruk lagi, mereka yang mengalami serangan jantung pada waktu malam turut berisiko tinggi menghidap kerosakan pada otak.
Kajian penyelidik Universiti Komanwel Virginia mendakwa ia turut membuktikan tempoh serangan yang dialami boleh menentukan hidup atau mati penghidap penyakit jantung berkenaan. Mereka mendakwa, jantung penghidap yang henti berdegup pada waktu malam dan hujung minggu lebih berisiko untuk mati berbanding mereka yang mengalami serangan jantung pada hari bekerja.
Selain faktor kesihatan mereka, kajian itu mendakwa kematian kerap pada malam dan hujung minggu juga mungkin disebabkan keadaan doktor yang keletihan, perubahan syif dan kekurangan petugas yang bekerja pada masa itu.
Kajian itu disifatkan antara yang terbesar kerana membabitkan penelitian ke atas lebih 85,000 kes pada 2000 hingga Februari 2007 yang mana degupan jantung penghidapnya terhenti. Peluang untuk hidup pula berbeza dan bergantung kepada masalah dihadapi individu.
"Bagi mereka yang mengalami serangan jantung pada hari biasa mempunyai 35.4 peratus peluang untuk hidup dalam tempoh 24 jam dan 19.8 peratus hidup lebih lama sehingga dibenarkan keluar hospital.
"Namun, keadaan sebaliknya jika penghidap berdepan masalah itu pada hujung minggu kerana peluang mereka untuk hidup cuma 14.6 peratus," kata penyelidik, Mary Ann Peberdy.
Berikutan itu, beliau mencadangkan tumpuan lebih menyeluruh perlu diberikan kepada persiapan hospital pada waktu malam dan hujung minggu yang dapat mempengaruhi peluang pesakit jantung. Sementara itu, Catherine Murphy, jurucakap Persatuan Pesakit Britain, menggesa kajian sama diadakan di Britain.
Sebelum ini, kajian mengaitkan bagaimana tekanan akibat bekerja meningkatkan risiko jantung dengan mengganggu sistem dalaman tubuh dan boleh membawa maut. Kajian di kalangan lebih 10,000 kakitangan awam Britain juga menunjukkan perubahan biologi yang berlaku akibat tekanan berbanding jangkaan sebelum ini, kata pakar perubatan Kolej Universiti London, Tarani Chandola.
"Ini adalah kajian rakyat pertama yang berskala besar bagi melihat kesan tekanan yang diukur daripada kehidupan bekerja setiap hari dan kesannya ke atas penyakit jantung.
"Salah satu masalah ialah orang ramai masih meragui tekanan kerja benar-benar memberi kesan kepada seseorang secara biologi," katanya yang mengetuai kajian.
Penyakit jantung adalah punca utama kematian di seluruh dunia. Ia disebabkan lebihan lemak yang menyukarkan dan menghalang arteri, tekanan darah tinggi yang merosakkan saluran darah dan faktor lain.
- Agensi