Khamis, 21 Februari 2008

Wartawan dituduh pengintip di China hampir bunuh diri


Ching Cheong

HONG KONG: Seorang wartawan Hong Kong yang disabitkan atas tuduhan mengintip di tanah besar China pernah terfikir untuk membunuh diri ketika menjalani hukuman penjara tiga tahun, kata laporan berita semalam.

Ching Cheong, wartawan koresponden akhbar The Straits Times Singapura berpusat di Hong Kong, dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Ogos 2006 atas tuduhan mengintip bagi pihak Taiwan. Dia bagaimanapun dibebaskan dari penjara di bandar selatan Guangzhou dua minggu selepas menghabiskan masa lebih 1,000 hari dalam penjara.

"Saya hilang keyakinan, harapan dan mempunyai kepercayaan diri yang rapuh. Saya mulai menidakkan semua yang saya hargai sebelum ini," kata Ching kepada akhbar dalam temuramah pertama sejak dibebaskan.

"Apabila anda berada dalam keadaan seperti itu, keyakinan yang semakin menurun berlegar-legar di fikiran dan pada akhirnya mengambil keputusan untuk membunuh diri," katanya.

Semangatnya mula pulih selepas membaca beberapa teks falsafah klasik Cina dan buku motivasi yang dibeli keluarganya ketika lawatan bulanan, katanya. Ching didapati bersalah menjual 'rahsia negara dan perisikan' tidak diperincikan kepada sebuah yayasan Taiwan dipercayai dalang aktiviti perisikan Taiwan di tanah besar China, lapor agensi berita Xinhua.

Dia ditahan ketika lawatan ke Guangzhou pada April 2005 dan dijatuhi hukuman dalam perbicaraan sehari 16 bulan kemudian. Mahkamah China menolak rayuannya pada November 2006.

Ching menafikan dia adalah seorang pengintip.

- AP