Selasa, 5 Februari 2008

Bayi mungkin gangguan mental jika ibu tertekan


LONDON: Wanita yang mengalami tekanan teruk pada awal kehamilan meningkatkan risiko bayi mereka menghidap skizofrenia. Penyelidik menemui kaitan antara perubahan hidup serius dalam tiga bulan pertama kehamilan dan perkembangan gangguan kesihatan mental di kalangan anak mereka dalam kehidupan di kemudian hari. Tekanan teruk dikelaskan sebagai berdepan kematian anak terdahulu, pasangan, ibu bapa atau adik beradik, atau saudara menghidap penyakit serius, seperti barah atau serangan jantung.

Wanita hamil yang menderita tekanan hebat memiliki anak dengan 67 peratus risiko menghidap skizofrenia. Skizofrenia ialah penyakit mental, dengan gejalanya termasuk halusinasi, khayal dan kerap bertukar perangai. Tiada penawar bagi penyakit itu tetapi sesetengah penghidap dapat dirawat dengan ubat. Penyelidikan terdahulu menunjukkan kaitan antara masalah dalam kehamilan seperti jangkitan, termasuk selesema dan tekanan kelahiran, dengan peningkatan risiko skizofrenia.

Profesor Philip Baker dari jabatan kebajikan kanak-kanak Tommy yang membiaya penyelidikan, berkata: “Kita semakin banyak belajar bahawa persekitaran yang didedahkan kepada bayi ketika dalam rahim menentukan kesihatan jangka panjang.

“Kajian ini menunjukkan tekanan pada awal kehamilan meningkatkan risiko bayi mendapat masalah kesihatan mental. Pada tahap awal, yang jarang diberikan perhatian mencukupi, adalah paling penting dalam menentukan sejauh mana kehamilan akan berjaya.”

Katanya, konsep baru itu benar-benar mengubah cara orang ramai berfikir mengenai kehamilan.

Berita Harian