Selasa, 5 Februari 2008

Formula cinta ditemui


Penyelidik Australia hasilkan cara terbaik cari pasangan secocok


MELBOURNE: Mencari pasangan sepadan kini tidak lagi bergantung kepada astrologi dan isyarat bintang kerana pakar akademik Universiti Oxford menghasilkan formula saintifik tepat yang akan dimasukkan dalam laman web eHarmony.com.au untuk digunakan mencari pasangan paling bersesuaian. Anggota perkhidmatan temu janji menggunakan Sistem Padanan Secocok yang dipatenkan untuk mencari pasangan bersesuaian berdasarkan profil psikologi mereka. Laman web itu akan dilancarkan tidak lama lagi di Australia. Projek itu adalah antara yang terbesar seumpamanya dan membabitkan kajian ke atas lebih 700 pasangan suami isteri di Australia untuk menghasilkan formula suai padan untuk penduduk negara itu.

Dalam usaha mengadakan temu janji pertama, pasangan perlu dipadankan dengan 29 aspek khususnya emosi, gaya sosial, perisikan dan kepercayaan rohani. Pakar psikologi laman web eHarmony, Dr Galen Buckwalter, berkata kriteria yang berjaya menemukan pasangan secocok itu akan mempunyai hampir 80 peratus berkemungkinan membantu mereka berada pada tahap 25 peratus pasangan yang sehidup semati. Penyelidikan itu turut membabitkan saintis Australia, Dr Monica Whitty, bekas siswi Universiti Macquarie dan pakar dalam psikologi temu janji internet.

Bagi mendapatkan profil psikologi, ahli baru perlu menjalani penilaian yang termasuk 256 soalan untuk menentukan jenis personaliti mereka, kepercayaan dan nilai. Kemudian profil psikologi mereka diproses dalam sistem padanan untuk mencari pasangan berpotensi untuk hubungan jangka panjang yang berjaya. "Apa yang kami lihat secara tetap ialah, secara umum, persamaan lebih dikehendaki bagi kepuasan hubungan jangka panjang. Ia bukan seolah-olah anda melihat klon anda tetapi jika personaliti asas hampir sama, anda ada peluang lebih besar memahami sesama sendiri secara emosi. "Beberapa formula yang kami gunakan di Australia unik tetapi kami tidak mendedahkan rahsianya, ia satu perniagaan yang amat berdaya saing," kata Dr Buckwalter yang juga ketua penyelidikan dan pembangunan eHarmony.

Dia juga berkata, reaksi emosi atau sepantas mana seseorang memberi tindak balas secara beremosi, dan tabiat bersosial adalah faktor penting mencari pasangan yang baik.

Bagaimanapun, beliau mengenepikan kepercayaan bahawa perbezaan sebenarnya yang menarik, dengan mendakwa ia mungkin benar untuk sekilas pandang tetapi bukan untuk hubungan jangka panjang.

"Perbezaan memang menarik tetapi ia membawa kepada pergaduhan. Jika anda berada dalam laluan berbeza, anda menghabiskan banyak tenaga emosi untuk mengatasi perbezaan," katanya.

Satu pasangan yang berkahwin ialah Rob dan Karen Reid, setahun selepas berjumpa menerusi eHarmony. Karen adalah janda beranak dua apabila mengambil keputusan untuk mencari jodoh menerusi program di internet.

"Saya berusia awal 40-an dan tidak mahu mengunjungi kelab untuk mencari jodoh serta menganggap cara ini lebih selamat. Saya mulanya berjumpa Rob untuk makan tengah hari.

"Orang kata biar pertemuan pertama singkat tetapi saya berbual selama sembilan jam. Itu sungguh luar biasa. Dia terus tertarik tetapi saya masih berhati-hati dan mengambil masa lebih lama sebelum menjalin hubungan serius," katanya.

- Agensi