LAKARAN artis ini menunjukkan jet hypersonic, A2 yang dijangka beroperasi dalam tempoh 15 tahun dan menggantikan jet Concorde yang menamatkan perkhidmatannya pada 24 Oktober 2003.
SEKUMPULAN jurutera Britain mendedahkan rancangan untuk membina sebuah jet penumpang hypersonic yang mampu terbang dari Eropah ke Australia dalam tempoh kurang lima jam.
Jet itu yang dikenali sebagai A2, direka oleh syarikat kejuruteraan Reaction Engines yang beribu pejabat di Oxfordshire selatan England.
Sebanyak 300 penumpang boleh menaiki jet itu yang mempunyai kelajuan hampir 6,400 kilometer sejam iaitu lima kali ganda daripada kelajuan bunyi.
Jet itu juga dikenali sebagai anak lelaki Concorde.
Sebelum ini jet Concorde yang dibina hasil kerjasama antara Perancis dengan Britain sudah menamatkan operasinya pada 24 Oktober 2003.
Jet Concorde pertama kali diterbangkan pada 1969 dan perkhidmatan komersial pertamanya bermula pada 1976 serta digunakan selama 27 tahun.
Ia juga mencipta beberapa rekod penerbangan antaranya dari Heathrow, London ke Boston dengan masa selama 3 jam, lima minit dan 34 saat.
Syarikat British Airways memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Concorde kerana ia tidak lagi mampu memberi keuntungan.
Menurut Ketua syarikat Reaction Engines, Alan Bond, projek A2 itu mendapat sokongan daripada Agensi Angkasa Eropah dan jet tersebut dijangka beroperasi dalam tempoh 15 tahun lagi.
“The A2 direka untuk meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brussels, terbang dengan senyap,” katanya.
Panjang jet itu adalah 143 meter dan ia adalah dua kali ganda daripada jet penumpang yang ada ketika ini serta mampu terbang tanpa henti untuk sejauh 20,000 kilometer.
Jet itu beroperasi dengan menggunakan cecair hidrogen yang lebih mesra alam.
Bagaimanapun, jet itu tidak dilengkapi dengan cermin tingkap di bahagian penumpang bagi mengelak masalah yang tercetus akibat haba berikutan kelajuan tinggi.
Sebagai ganti tingkap itu, para pereka mungkin meletakkan skrin televisyen di tempat cermin tingkap bagi memberikan gambaran keadaan di luar.
Tiket yang bakal dikenakan kepada penumpang pada altitud 30,480 meter dari Eropah ke Australia dijangka berharga kira-kira £2,000 (RM12,698).
Masa penerbangan dari Brussels ke Australia mungkin selama empat jam dan 40 minit.
Ketika ini, penerbangan antara England ke Australia melibatkan masa selama 22 jam dan 50 minit.
“Ia seperti sesuatu yang tidak munasabah jika berdasarkan kepada standard kelajuan pada masa kini tetapi saya tidak mendapati kenapa generasi masa depan tidak boleh melakukan perjalanan harian ke Australia,” kata Bond.
Pasukan kejuruteraan Bond itu disertai oleh mereka yang pernah memajukan enjin sebuah jet angkasa pada tahun 1980-an.
Enjin itu dikenali sebagai Hotol dan ia dicipta untuk membolehkan jet berlepas ke orbit dan kemudian kembali ke Bumi.
– Agensi