CADANGAN supaya pekerja warga asing mendaftarkan diri di balai polis berhampiran tempat mereka bekerja, sebagai langkah mengatasi masalah jenayah setempat walaupun nampak mudah, pelaksanaannya nanti, jika diluluskan kerajaan mungkin berhadapan pelbagai kesulitan. Mungkin cadangan penduduk kawasan perumahan yang berhadapan dengan kebanjiran pekerja asing, boleh dipertimbangkan jika kerajaan mempunyai mekanisme mencukupi termasuk logistik agensi berkaitan selain aspek perundangan. Kita menyedari kadar jenayah di negara ini semakin meningkat mempunyai kaitan dengan kebanjiran warga asing terutama pendatang tanpa izin. Kerana itu, pihak berkuasa terutama pengurusan polis memperkenal dan mengambil pelbagai pendekatan termasuk menambah anggota dan membina lebih banyak balai polis baru sebagai usaha menangani jenayah. Berdasarkan data polis, kebanyakan kes jenayah dilakukan penduduk tempatan terutama jenayah kekerasan dan bersenjata. Sekiranya pekerja asing diwajib mendaftar diri di balai polis berhampiran tempat kerja mereka, ia akan menimbulkan banyak masalah kepada polis kerana pada masa yang sama, mereka berhadapan masalah tidak cukup tenaga melakukan rondaan, menerima pelbagai aduan di balai dan kadang kala menyertai operasi khas dari semasa ke semasa. Bayangkan jika dalam sehari 500 pekerja asing mendaftar di satu balai, sudah tentu banyak masa dihabiskan untuk melayan kerenah mereka.
Berdasarkan jumlah pekerja yang kini melebihi 2.6 juta di seluruh negara, apakah polis terpaksa menubuhkan jabatan khas untuk mengendalikan pendaftaran berkenaan. Bagi kita, isu sebenar ialah usaha menyelesaikan masalah kebanjiran pekerja asing terutama mereka yang tidak mempunyai dokumen sah dan melanggar peraturan Imigresen masih kurang berkesan. Kegagalan kita menghalang mereka masuk secara beramai-ramai terutama mereka yang bekerja secara haram atau tinggal melebihi tempoh, menjadi punca sebenar sebahagian kejadian jenayah ini. Namun, kita juga menerima hakikat bahawa pembangunan pesat negara memerlukan sumber tenaga luar terutama dalam industri pembinaan dan perladangan. Pekerja haram ini akan mencari kawasan terpencil terutama di pinggir kawasan penempatan dan perumahan penduduk tempatan untuk tinggal bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Rata-rata pekerja asing yang mempunyai dokumen sah, jarang melakukan jenayah kerana mereka ingin mencari rezeki halal yang tidak diperoleh di negara mereka untuk dihantar pulang bagi menyara keluarga. Apapun yang kita lakukan, sekiranya tidak menyelesaikan masalah asas, iaitu mengetatkan kemasukan pekerja asing tidak dilakukan dengan sewajarnya, negara akan berhadapan bukan saja masalah jenayah yang dikaitkan dengan pekerja asing, malah masalah besar lain iaitu kebergantungan kepada tenaga kerja asing akan terus menghantui penduduk negara ini. Kalau Amerika Syarikat dengan sempadan antarabangsanya yang panjang terpaksa mengetatkan peraturan imigresen termasuk membina pagar bagi menghalang kemasukan pekerja haram atau negara jiran meletakkan petugas yang melakukan pengawasan 24 jam, apakah yang dilakukan di negara ini.
Kita berhadapan dilema dengan sikap tolak ansur yang berlebihan, sehingga akhirnya penduduk menerima kesan serta melahirkan pelbagai cadangan dan pandangan. Mungkin pandangan penduduk supaya pekerja asing melaporkan diri di balai polis adalah kes terpencil yang boleh diambil pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah di kawasan mereka. Kita bimbang sekiranya, pandangan itu diambil kira pihak berkuasa dalam menangani kemelut yang ditimbulkan pekerja asing, kerajaan terpaksa berbelanja besar bagi melaksanakannya.
Berita Harian