MASYARAKAT Cina bersama-sama rakan mereka daripada pelbagai lapisan kaum di seluruh negara ceria meraikan kedatangan Tahun Tikus dengan mengunjungi rumah terbuka dan acara yang diadakan bagi merayakan sambutan Tahun Baru Cina, sejak kelmarin. Sambil saling bertukar-tukar ucapan selamat dengan harapan tahun yang mendatang membawa kesejahteraan dan kemajuan, mereka menikmati pelbagai juadah tahun baru dengan suasana gembira dan persekitaran yang diserikan dengan hiasan dominasi warna merah sambutan Tahun Baru Cina. Di ibu negara kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengunjungi rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina anjuran dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan dengan menyifatkan sambutan kali ini dilihat jauh lebih meriah berbanding tahun sebelumnya. Menurut Perdana Menteri, rumah terbuka yang dihadiri pelbagai kaum itu jelas melambangkan sikap muhibah dan keutuhan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Seperti perayaan kaum lain, sambutan Tahun Baru Cina ini, adalah peluang terbaik rakyat untuk terus memupuk dan memelihara sikap bermuafakat, bertolak ansur, bersatu padu dan saling menghargai antara satu sama lain kerana ia adalah kunci keamanan dan kemakmuran negara.
Rakyat harus insaf bahawa kestabilan yang wujud tidak datang dengan mudah dan bukan tanpa usaha serta pengorbanan, sebaliknya hasil perpaduan yang dipupuk sejak sekian lama. Sebagai rakyat Malaysia, kita bersyukur kerana dapat meraikan pelbagai hari kebesaran dan perayaan masyarakat berbilang kaum dan agama bersama-sama dalam suasana meriah dan harmoni. Sememangnya kita amat bertuah. Apatah lagi jika kita lihat keadaan sekeliling, tidak banyak negara dengan rakyat pelbagai kaum seumpama kita yang mampu mengecapi apa yang kita nikmati. Sesungguhnya Malaysia bukan milik mana-mana individu atau kaum, tetapi milik kita bersama, setiap rakyat Malaysia. Oleh itu, rakyat perlu terus bersatu dan berfikiran positif bagi menjamin perpaduan negara apatah lagi dalam keadaan demam pilihan raya sekarang ini. Rakyat pelbagai kaum termasuk kaum Cina memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak merdeka, perlu menjaga perpaduan bagi menjamin masa depan negara yang cerah. Rakyat hendaklah terus mengamalkan sikap sederhana, liberal dan progresif dalam menangani segala bentuk isu termasuk fahaman ekstrem dan perkauman di negara ini.
Sikap sederhana, liberal dan progresif dalam membincang dan menyelesaikan pelbagai isu serta menangani segala bentuk fahaman ekstrem dan perkauman dapat membantu mempercepatkan lagi pengwujudan Bangsa Malaysia. Kita juga perlu meningkatkan daya saing modal insan supaya kadar pertumbuhan ekonomi negara dapat dipelihara. Komitmen yang ditunjukkan masyarakat Cina ke arah membantu kerajaan mewujudkan masyarakat yang progresif menyaksikan penubuhan pelbagai bentuk pakatan khususnya dalam bidang perniagaan dan perdagangan sesama kaum lain. Kita percaya perkongsian seperti ini akan membawa lebih banyak manfaat dan perkara ini penting demi memastikan keharmonian yang sedia terjalin dapat dikekalkan. Begitu juga dalam bidang politik apabila rakyat Cina percaya kepada konsep perkongsian, yang pada akhirnya membawa manfaat dan kejayaan kepada semua pihak. Kejayaan sesuatu kaum berkaitan dengan keharmonian di negara ini.
Berita Harian