Ahad, 10 Februari 2008

Perpaduan kunci kejayaan negara

Retorik, janji tak banyak makna tetapi sikap positif mampu kekal integriti

PERPADUAN tidak boleh diambil mudah dalam sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia. Maka itu rakyat negara ini harus terus memupuk dan memelihara sikap muafakat, bertolak-ansur, bersatu serta saling menghargai satu sama lain. “Sesungguhnya Malaysia ini bukan milik mana-mana individu atau kaum, tetapi adalah milik kita bersama setiap rakyat Malaysia,” demikian antara amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Kita semua tahu kesan daripada kegagalan menguruskan rakyat pelbagai kaum di banyak negara di dunia. Hari ini sentimen perkauman menyebabkan banyak masalah. Kita sudah melihat bagaimana kebencian terhadap kaum menyebabkan pelbagai angkara - paling akhir di Kenya, negara yang selama ini menjadi model kerukunan masyarakat pelbagai suku kaum di Afrika. Kita tahu apa yang berlaku di bekas Republik Yugoslavia, Rwanda dan banyak negara lain. Satu demi satu kerukunan bermasyarakat musnah kerana sengketa akibat daripada sentimen perkauman. Kita sendiri sudah mengalaminya pada 1969.

Kita tidak ada pilihan lain melainkan mengorak langkah ke hadapan memastikan kesejahteraan dan kerukunan bermasyarakat di negara ini dipelihara. Ini bukan retorik. Isu perpaduan bukan debat akademik. Ini isu benar yang menentukan baik buruk dan jatuh bangunnya negara ini.

Kita tidak boleh hidup dengan sejarah silam. Lagi pula kita berdepan dengan generasi baru yang rata-rata tidak lagi diseret oleh kesan psikologi dan rentetan sejarah masa lampau semata-mata. Kita harus mengorak langkah untuk memastikan wujud sebuah negara bangsa yang ditunjangi oleh perpaduan dan persefahaman semua anggota masyarakatnya.

Kita juga harus mengakui masih ada masalah dalam kerangka hubungan kaum di negara kita. Integrasi kaum tidak berjalan sebaik yang kita harapkan. Masyarakat kita masih terbentuk di dalam kepompong kaum secara tradisi. Kedudukan kaum masih ditentukan oleh ilmu alam dan penempatan.

Lebih menyulitkan lagi kerana hampir segala-galanya di negara ini dicorakkan oleh pertimbangan kaum - daripada politik hingga dasar kerajaan. Itu sebenarnya tidaklah terlalu buruk kerana sistem politik membenarkan parti yang berteraskan kaum bergabung di bawah satu payung untuk memperjuang kepentingan semua. Dasar negara juga - khususnya yang membabitkan orang Melayu ditentukan oleh Perlembagaan, selain keperluan semasa.

Apa yang menyulitkan ialah proses integrasi itu sendiri. Apabila pelajar daripada dua kaum yang berbeza enggan tinggal sebilik di asrama pusat pengajian tinggi awam, saya melihat itu isu yang serius. Apabila ada kecenderungan untuk melihat orang lain daripada kacamata perkauman yang sempit, bagi saya itu hal yang serius. Apabila kita mulai bercakap mengenai ‘Mereka’ dan ‘Kita’, maka proses integrasi itu sebenarnya masih bermasalah. Apabila kadar toleransi menjunam hinggakan untuk memberikan ucapan selamat Tahun Baru Cina kepada kaum Cina dianggap salah oleh sesetengah pihak, sikap sedemikian memerlukan perhatian serius.

Maka, sistem sekolah memainkan peranan yang penting. Kita memang mem berikan ruang pada pertumbuhan Sekolah Jenis Kebangsaan. Keutamaan Kementerian Pelajaran masa ini tentulah untuk memperkasa sekolah kebangsaan bagi menjadikannya sekolah pilihan utama rakyat negara ini. Integrasi bermula di sekolah. Perpaduan dibentuk secara bersahaja di sekolah. Demikian juga toleransi dan persefahaman. Jika anak kita tidak diintegrasikan di sekolah, di mana lagi? Jikalau anak kita dipisahkan sejak dari tadika, di manakah titik bermulanya proses integrasi?

Tidak hairanlah jika kita berdepan dengan situasi yang kritikal dalam soal hubungan kaum di negara ini. Bagaimanapun, banyak orang cuba mengelakkan diri daripada membahaskannya. Ada tanda rakyat kita sedang menjarak atau drifting apart. Nilai-nilai bersama yang terbaik di antara kita mula diketepikan. Malah, keperluan pada pegangan Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara juga semakin menipis. Sejarah tidak lagi dipedulikan. Malah ‘kontrak sosial’ di antara kaum yang dihayati oleh generasi kemerdekaan tidak banyak maknanya lagi pada kita hari ini. Semua ini resipi kemusnahan.

Apa yang disebutkan sebagai identity contestation dalam masyarakat majmuk tidak dapat dielakkan. Setiap kaum akan memperagakan keMelayuan, keCinaan, keIndiaan, keIbanan, keKadazaanan dan lain-lain. Pada masa sama, setiap kaum mengamalkan agama yang berbeza serta budaya yang berlainan. Malah, perbezaan etnik tadi ditambah sulitkan oleh kelainan agama dan budaya. Kita selalu menganggap semua ini kekuatan bagi kita. Bagaimanapun, kerana terlalu banyak menumpukan pada kelainan kita terlupa bahawa kelainan menyebabkan krisis, perbezaan mengundang sengketa dan keunikan tidak ada maknanya apabila retak hanya menanti belah.

Indonesia adalah contoh klasik bagaimana pembinaan sebuah negara bangsa mendahului segala-galanya. Dengan berbekalkan Pancasila dan konsep sebuah Bangsa Indonesia, Presiden Sukarno dan kemudian Suharto menyatukan kelainan wilayah, rumpun bangsa dan kepercayaan sebagai nusa silang budaya yang unik. ‘Bangsa Indonesia’ menjadi satu kenyataan menerusi bahasa, budaya dan dan prinsip penyebatian gaya Indonesia.

Rakyat Indonesia di mana-manapun boleh dikenali kerana bahasa yang menjadikan identiti mereka. Itupun tidak dapat menyelamatkan Indonesia apabila krisis ekonomi melanda. Kelompok minoriti yang menguasai ekonomi menjadi sasaran kerana rata-rata rakyat pribumi terpinggir daripada arus perdana kejayaan ekonomi.

Amy Chua di dalam bukunya World on Fire: How Exporting Free Market Democracy Breeds Ethnic Hatred and Global Instability menggunakan konsep market dominant minorities untuk menggambarkan kelompok elit kaum Cina yang menguasai ekonomi di Asia. Kita menyedari hal itu pada 1969. Kita merencanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang prinsipnya buta kaum kerana matlamatnya untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. Kebetulan yang paling ramai miskin ialah Bumiputera, maka sasaran utamanya tentulah pada kelompok ini, tanpa sebarang niat merompak hak orang lain. Itulah semangat sebenar DEB.

Hari ini dasar membasmi kemiskinan harus terus buta kaum. Dasar itu perlu diteruskan kerana kemiskinan tidak mengenal kaum. Keresahan kaum India harus diberikan perhatian kerana masalah mereka juga masalah negara. Kita tidak menyokong sebarang bantahan jalanan, tetapi setiap pihak - daripada pimpinan politik kaum India sendiri, cendekiawan mereka, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan kaum lain harus sama-sama membantu.

Kaum Cina yang berjaya harus bekerjasama dengan kaum Melayu dan India untuk membantu membina ahli perniagaan baru yang tulen. Kesepakatan dalam pelbagai usaha niaga harus digalakkan. Orang Melayu tidak sepatutnya mengharapkan sokongan kerajaan semata-mata dalam memajukan ekonomi mereka. Jika benar semangat kesetiakawanan wujud, kaum Cina harus menghulurkan tangan membantu secara jujur.

Kita boleh menuding jari mencari punca masalah integrasi di negara ini. Kita boleh menyalahkan segelintir orang Melayu Islam yang hilang toleransi terhadap kaum dan agama lain. Kita boleh menyalahkan cauvinisme kaum lain. Kita boleh menyalahkan budayawan Melayu, Cina dan India yang terperangkap dalam sejarah lampau. Pokok pangkalnya ialah menanyakan secara jujur apakah kita bersedia mempertaruhkan masa depan negara dengan keadaan rakyat yang tidak bersatu.

Kita harus berani berterus-terang menanyakan kejujuran dan komitmen kita bersama untuk memastikan sebuah Malaysia yang maju, berjaya dan rakyatnya hidup dalam harmoni. Ketika cuti Tahun Baru Cina ini, alangkah baiknya kita melihat secara jujur apakah sumbangan kita semua pada perpaduan kaum di negara ini. Kepada pembaca kaum Cina: Selamat Tahun Baru.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu