WASHINGTON: Kaedah akupuntur menawarkan cara lebih mudah, selamat dan berkesan dalam meningkatkan kadar kejayaan dalam rawatan kesuburan. Wanita yang menjalani rawatan persenyawaan luar rahim (IVF) 65 peratus lebih berkemungkinan untuk hamil apabila menggabungkan prosedur itu dengan teknik lama menggunakan jarum, menurut kajian. Kadar kejayaan menakjubkan itu didapati pada tujuh percubaan akupuntur membabitkan 1,366 wanita.
Akupuntur dilakukan sama ada sebelum atau selepas pemindahan embrio - tempoh ketika embrio yang dihasilkan dalam makmal mesti melekatkan dirinya kepada dinding rahim untuk membolehkan kehamilan berlaku. Penyelidikan dijalankan saintis dari Universiti Maryland di Amerika Syarikat dan Universiti Amsterdam di Belanda. Mereka mendakwa disebabkan kos akupuntur cuma kira-kira £50 (RM340) satu sesi berbanding £4,000 hingga £6,000 (RM27,200 hingga 40,800) bagi setiap kitaran IVF, ia lebih berkesan untuk diperkenalkan.
Akupuntur merangsang pemancar saraf yang mencetuskan pengeluaran hormon pembebasan gonadotrophin, yang mengawal kitaran haid dan kesuburan wanita. Kaedah itu juga merangsang aliran darah ke rahim dan meningkatkan pengeluaran endogenous opioids, yang mendorong tubuh untuk tenang.
Kaedah akupuntur digunakan di China selama berabad-abad untuk merangsang kesuburan. Ia juga terbukti menjadi rawatan berkesan untuk sakit kronik. Kajian itu disiarkan dalam laman web British Medical Journal.
- Agensi