SEEKOR anak harimau bintang yang mati dilanggar di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor, Terengganu semalam.
DUNGUN - Awas, ini kawasan harimau bintang melintas!
Mungkin peringatan tersebut agak mengejutkan namun itulah pengalaman beberapa pengguna di Kilometer 56 hingga Kilometer 62 laluan Jerangau - Jabor yang kerap terserempak dengan haiwan tersebut yang melintas tanpa mengira waktu.
Seorang peniaga, Shahidan Hashim, 47 berkata, dia pernah beberapa kali terserempak dengan harimau bintang di Kilometer 56 laluan itu.
"Yang terbaru, saya ternampak haiwan tersebut yang sebesar anak kambing sedang melintas jalan tersebut kelmarin," kata Shahidan.
Menurutnya, harimau berwarna kuning berbintik hitam itu tiba-tiba melompat dari tebing di sebelah kiri jalan ketika dia memandu kereta dari Kemaman ke Kuala Berang.
"Saya sempat mengelak haiwan buas itu. Memang terkejut, tapi saya segera memberhentikan kenderaan untuk melihat arah harimau itu lari.
"Haiwan itu terhincut-hincut ketika menghilangkan diri di ladang kelapa sawit dan saya cuba merakam gambar tapi tak sempat," katanya.
Seorang pemandu lori, Hanafiah Daud, 54, pula berkata, dia terlanggar seekor harimau bintang di Kilometer 59 laluan itu semalam.
"Bukan sengaja malah saya cuba mengelaknya tapi tak berjaya dan harimau itu mati di situ.
"Kalau terlanggar oleh motosikal, saya rasa motosikal boleh jatuh kerana harimau tersebut agak besar," katanya.
Seorang pekerja kebun kelapa sawit, Ismaidi Suratman, 29 berkata, haiwan tersebut memang kerap dilihat ketika dia sedang bekerja di kawasan tersebut.
"Ada orang kata, harimau bintang tidak ganas tapi pernah juga haiwan itu cuba mengganggu kami tetapi nasib baik kami dalam kumpulan yang ramai dan berpakat mengusirnya," katanya.
Bagaimanapun tambahnya, pejalan kaki yang melalui jalan tersebut perlu berhati-hati kerana ada kemungkinan harimau bintang menyerang mereka.
Kosmo!