PADA kelazimannya, model hanya berperanan berjalan di pentas bagi memperagakan pelbagai fesyen terbaru tetapi tujuh model popular kini ditugaskan menjadi ejen perisikan rahsia.
Tujuh gadis jelita itu akan bertindak sebagai pengintip pada Minggu Fesyen London di Britain yang membuka tirainya kelmarin di halaman Muzium London Natural History.
Misi mereka adalah untuk membongkar pelbagai isu yang dihadapi oleh model seperti masalah pemakanan atau anoreksia, buli dan berbogel secara paksa.
Mereka akan melaporkan sebarang masalah kepada para pekerja sebuah kesatuan pelakon, Equity.
Majlis Fesyen British baru-baru ini mendedahkan bahawa masalah yang dihadapi oleh model-model kini semakin meningkat.
Kesatuan itu memberitahu bahawa golongan model kini menghadapi risiko tinggi anoreksia dan gejala buli sekali gus memberikan contoh yang kurang baik terhadap remaja.
Kebimbangan berhubung anoreksia di kalangan model mula tercetus pada 2006 selepas serang model dari Brazil, Ana Carolina Reston meninggal dunia akibat penyakit itu.
Kini seramai 100 model telah menjadi anggota Equity dan mereka mendedahkan pernah dipaksa berbogel atau beraksi separuh bogel.
Beberapa model juga mengadu pernah diarahkan untuk menguruskan badan dan memakai alat solek yang mempunyai kesan alahan terhadap mereka.
Mereka juga mengadu mempunyai tempoh kerja yang lama dan sering dipaksa bekerja selama 10 jam sehari manakala waktu rehat adalah selama 15 minit.
Seorang model berumur 22 tahun yang menjadi ejen rahsia Equity berkata, terdapat juga isu gangguan dan kesihatan yang dihadapi oleh model.
Menurutnya, ketika sesi fotografi, model kerap menjadi mangsa buli dan mereka tidak disediakan dengan makanan yang secukupnya.
"Sebahagian jurugambar juga tidak menghiraukan permintaan seseorang model mengenai bahagian tubuh badan yang ingin didedahkannya," ujarnya.
Dia menyatakan model-model yang baru lebih berisiko tinggi terdedah dengan masalah itu kerana mereka masih kurang pengalaman.
"Gadis-gadis dari luar negara juga kerap menjadi mangsa kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk meminta pertolongan," katanya.
Dua tahun lalu, para penganjur Minggu Fesyen London pernah mencetuskan satu perdebatan hangat selepas enggan mengharamkan model yang terlalu kurus.
Ketua Komunikasi dan Keanggotaan Equity, Martin Brown berkata, pihaknya kerap menerima aduan daripada pelakon dan penari yang menganggotai kesatuan berkenaan.
"Bagaimanapun, masalah tersebut bukanlah satu-satunya isu yang ingin kami tekankan kerana masih banyak lagi isu yang perlu diambil perhatian.
"Kami juga mahu meneliti pelbagai aspek seperti jumlah jam bekerja, penyediaan dan ketelusan sesuatu kontrak serta prosedur perakaunan yang lebih terbuka," katanya.
Dalam pertunjukkan fesyen pada kali ini, sebanyak 70 peratus model yang mengambil bahagian adalah dari luar negara dan mereka masih baru dalam bidang itu.
Mereka akan memperagakan beberapa koleksi pakaian musim luruh dan musim sejuk 2008 rekaan beberapa pereka fesyen terkenal.
Minggu fesyen itu dianggap sebagai penting dalam industri fesyen kerana sebelum ini ia menjana pendapatan berjumlah £100 juta (RM631 juta) untuk para pereka di Britain.
Antara tarikan pada pertunjukkan fesyen kali ini adalah kepulangan model popular, Kate Moss yang akan memperagakan pakaian rekaan pereka fesyen terkenal, Westwood.
- Agensi