Marion Cotillard
LONDON - Majlis Anugerah Akademi Filem dan Seni Televisyen Britain (BAFTA) kelmarin menerima kejutan apabila dua pelakon terkenal, Keira Knightley dan Julie Christie tewas kepada aktres Perancis, Marion Cotillard yang tidak dikenali.
Cotillard memenangi kategori pelakon wanita terbaik menerusi watak seorang penyanyi, Edith Piaf dalam filem La Vie En Rose.
Filem Atonement diumumkan sebagai filem terbaik manakala aktor Daniel Day-Lewis memenangi kategori pelakon lelaki terbaik menerusi filem There Will Be Blood.
Majlis BAFTA menjadi pertandingan yang penting pada tahun ini berikutan majlis anugerah Golden Globe terpaksa dibatalkan berikutan mogok persatuan penulis Hollywood.
Filem Atonement mengisahkan mengenai kehidupan, cinta dan Peperangan Dunia Kedua, menerima pencalonan dalam 14 kategori tetapi ia memenangi dua daripadanya termasuk Rekaan Penerbitan.
"Saya berasa lega kerana Atonement berjaya mendapat dua kejayaan daripada 14 kategori yang dicalonkan," kata penerbit bersama filem itu, Eric Fellner.
Filem La Vie En Rose menggondol tiga lagi anugerah iaitu kategori muzik, rekaan kostum dan solekan.
Joel dan Ethan Coen memenangi kategori pengarah terbaik menerusi filem No Country For Old Men dalam majlis itu yang diadakan di Royal Opera House.
- AFP