Phil Woolas, Menteri Alam Sekitar Britain
LONDON: Menteri Alam Sekitar Britain berdepan desakan semakin memuncak supaya meletak jawatan selepas mengeluarkan kenyataan mengenai masalah perkahwinan sepupu di kalangan penduduk berketurunan Pakistan negara itu. Phil Woolas mendakwa perkahwinan itu menyebabkan peningkatan bilangan bayi yang dilahirkan cacat di Britain. Beliau juga menegaskan isu itu tidak diendahkan pemimpin Islam dan mengisytiharkan ia sebagai masalah besar yang perlu diberi perhatian segera.
Kenyataan Woolas mencetuskan satu lagi perbahasan panas mengenai penduduk Islam Britain, menyusul kemarahan berhubung kenyataan Ketua Paderi Canterbury, Dr Rowan Williams, mengenai undang-undang syariah. Ahli Parlimen berkata, kenyataan Woolas tidak sensitif dan salah, manakala Majlis Hal Ehwal Awam Muslim menegaskan ia bersifat ‘perkauman’ dan ‘Islamofobia.’ Bagaimanapun, penyokong Woolas menegaskan beliau menggesa perbahasan diadakan mengenai kelaziman perkahwinan antara keluarga terdekat di kalangan keluarga berketurunan Pakistan - dan bukan keseluruhan dunia Islam.
Bukti perubatan juga menunjukkan perkahwinan antara saudara terdekat meningkatkan risiko kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan. Woolas, bekas Menteri Hal Ehwal Kaum, memberitahu Sunday Times: “Jika anda berkahwin dengan sepupu anda berkemungkinan terdapat masalah genetik.
“Isu yang perlu kita bahas ialah perkahwinan dengan sepupu, kerana terdapat banyak perkahwinan diatur dengan sepupu, dan menghasilkan banyak masalah genetik dari segi kecacatan pada kanak-kanak.”
Woolas menegaskan amalan itu tidak berlaku dalam semua komuniti Islam tetapi kelazimannya di kalangan keluarga dari pedalaman Pakistan. Penyelidikan menegaskan separuh daripada perkahwinan di kalangan komuniti itu membabitkan sepupu.
- Agensi