Isnin, 11 Februari 2008

Pertemuan Pak Lah,Samak buka lembaran baru


Samak Sundaravej, Perdana Menteri Thailand

KESEDIAAN kerajaan baru Thailand untuk berbincang dengan Malaysia berhubung konflik di selatan negara itu yang membabitkan penduduk beragama Islam dilihat sebagai perkembangan sihat yang boleh merintis semula usaha perdamaian di wilayah berkenaan. Sebagai negara jiran terdekat dengan wilayah itu, Malaysia turut mempunyai peranan dalam usaha mencari perdamaian kepada pertikaian itu, sekali gus menamatkan konflik di Yala, Pattani dan Narathiwat yang berlarutan sejak 2004 dan mengorbankan lebih 2,900 nyawa. Apa yang diharapkan ialah dalam kunjungan Perdana Menteri Thailand yang baru, Samak Sundaravej ke negara ini untuk menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat ini, akan membawa bersamanya formula kedamaian sebagai rangka perbincangan, bukan sekadar kunjungan formal selepas memegang jawatan. Kita juga berharap agar pemimpin baru Thailand itu, yang juga rakan sekutu perdana menteri yang disingkir, Thaksin Shinawatra, tidak akan meneruskan pendekatan keras mentornya dalam menangani krisis di wilayah berkenaan.

Konflik yang berlaku sejak pemisah Islam mengangkat senjata pada 4 Januari 2004 lalu telah mengakibatkan keganasan dengan begitu ketara sekali. Saban hari ada saja laporan mengenai jumlah mereka yang terkorban walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi meredakan ketegangan. Thaksin menggunakan pendekatan keras dan bersenjata bagi menghadapi tentangan orang Islam di situ dan akibatnya, keganasan merebak dengan cepat sehinggalah Thaksin digulingkan pada September 2006. Namun apabila Thailand diperintah sementara oleh tentera, Perdana Menterinya, Surayud Chulanont berikrar untuk mengubah kaedah menghadapi kumpulan pemisah. Surayud lebih suka cara berdamai dan berbincang, selain meminta maaf secara terbuka terhadap tindakan pemerintah terdahulu. Bagaimanapun, pendekatan itu juga tidak berjaya mengekang keganasan kerana kekurangan sokongan anggota tentera di peringkat bawahan dan sebagai tindakan balas, kumpulan pemisah mengambil kesempatan untuk meningkatkan penentangan dan melakukan serangan dengan lebih kerap. Penduduk Islam juga menjadi bertambah marah apabila pihak kerajaan bertindak menahan sebilangan anggota pemisah. Pergolakan di selatan Thailand itu juga menyebabkan penduduknya sentiasa hidup dalam ketakutan dan dinafikan kemudahan pelajaran serta peluang ekonomi.

Di sinilah letaknya peranan jiran seperti Malaysia, yang telah berusaha membantu penduduk Islam di ketiga-tiga wilayah yang bergolak itu ketika negara berkenaan berada di bawah kerajaan tentera. Perdana Menteri menegaskan Malaysia akan terus memberi bantuan khususnya dalam bidang pelajaran dan ekonomi kerana langkah itu tidak bermakna kita mencampuri hal ehwal negara berkenaan ataupun mengganggu kerajaannya. Pertemuan Abdullah dengan Samak diharap membuka lembaran baru bagi sengketa di Selatan Thailand. Kita yakin kedua-dua pihak dapat mencari jalan penyelesaian yang lebih konkrit dan kekal agar tidak berlaku lagi keganasan secara berterusan antara penganut agama yang berlainan serta antara penduduk Islam dengan anggota tentera. Sekiranya Samak benar-benar serius dan jujur untuk menangani konflik itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan seharusnya mengetepikan pendekatan kekerasan dan mengarahkan semua pihak termasuk orang awam dan tentera meletakkan senjata di kawasan konflik itu di samping membubarkan undang-undang tentera yang dikenakan kerajaan sebelum ini. Kemenangan besar Parti Kuasa Rakyat (PPP) dalam pilihan raya umum Disember lalu diharap dapat mengubah keadaan ini dan Samak diharap dapat membetulkan kesilapan dilakukan sekutunya dulu.

Berita Harian