Ahad, 10 Februari 2008

Roda Ferris tertinggi beroperasi


Roda Ferris berpusing terbesar di dunia bersedia untuk memulakan operasi di Singapura pada malam ini dengan pelanggan korporat sanggup membayar ribuan dolar untuk ‘menaiki penerbangan’ pertama.

Syarikat Great Wheel Corp yang mengendalikan projek roda itu menyatakan ia mempunyai ketinggian 165 meter atau setinggi bangunan 42 tingkat iaitu 30 meter lebih tinggi berbanding London Eye.

Bagaimanapun, roda itu dikenali sebagai Singapore Flyer dan menjadi satu daya tarikan pelancongan terbaru di negara berkenaan.

“Sebenarnya, kami mendahului waktu (tarikh disiapkan) dan bajet,” kata Pengarah Urusan Singapore Flyer, David Beevers.

Menurutnya, tiket untuk tiga malam pertama sudah habis dijual.

Beberapa syarikat dan individu sanggup membayar sebanyak S$8,888 (RM20,253) iaitu angka yang dianggap bertuah oleh masyarakat Cina untuk menjadi kumpulan pelanggan pertama.

“Sepanjang bulan ini, ia merupakan satu majlis tertutup yang diadakan pada setiap hari,” kata Beevers.

Menurutnya, orang ramai akan dibenarkan untuk menaiki roda terbesar di dunia itu pada 1 Mac depan.

Beberapa kumpulan yang mengandungi antara 600 hingga 1,000 orang dijangka menaiki roda itu dalam satu majlis tertutup, kata Beevers.

Beliau berkaya, majlis perasmian akan diadakan pada 15 April depan.

Roda Ferris di Singapura itu mempunyai 28 kapsul yang saiznya adalah seperti sebuah bas selain dilengkapi dengan pendingin hawa dengan muatan 28 untuk setiap satu.

Para pelanggan boleh berjalan dan mereka tidak akan berasa sebarang pergerakan atau gegaran ketika menaikinya selama 30 minit.

“Anda boleh menempatkan lebih 1,000 orang dalam tempoh sejam,” kata Beevers.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan 10 juta orang akan menaiki roda itu pada setiap tahun.

Antara pelanggan korporat awal Singapore Flyers itu adalah SG Private Banking yang menempah 11 kapsul untuk meraikan kakitangannya sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Orang ramai akan dapat menyaksikan pemandangan 360 darjah dan sejauh 45 kilometer termasuk ke arah negara jiran Malaysia serta Indonesia dengan bayaran sebanyak S$29.50 (RM67.22) apabila ia dibuka untuk pelanggan awam.

Harga tiket yang lebih tinggi akan dikenakan jika mahu makanan dan minuman disediakan dalam kapsul.

Syarikat Great Wheel Corp yang membina roda itu turut terlibat dalam pembinaan roda Ferris di Beijing dan Berlin.

Daya tarikan pelancongan baru di Singapura itu terletak di kompleks kasino Marina Bay Sands yang dijangka dibuka secara rasmi pada tahun depan.

Ia juga terletak berdekatan dengan lokasi perlumbaan Formula Satu (F1) yang bakal berlangsung buat pertama kali di republik itu pada September depan.

Singapura yang menghadapi masalah kekurangan daya tarikan pelancong yang semula jadi mula mengadakan kempen untuk meningkat kehadiran pelancong asing.

Menurut Lembaga Pelancongan Singapura, sebanyak 10.3 juta pelancong berkunjung ke negara itu pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding pada 2006.

Projek pembinaannya itu melibatkan kos sebanyak S$240 juta (RM547 juta).

Roda Ferris di Singapura itu dibina oleh Syarikat Mitsubishi Corp dan Takenaka Corp dari Jepun.

Kawasan di sekitar roda Ferris itu kini menjadi tempat untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan mesyuarat perniagaan dan perkahwinan.

Pakej sambutan Hari Kekasih juga ditawarkan kepada orang ramai.

Beberapa kedai, restoran dan hujan tropika merupakan antara daya tarikan yang terdapat di lokasi itu di mana para penumpang boleh berkunjung sebelum menaikinya.

– AFP