Pakar ramal mesin boleh berfikir, berinteraksi dalam tempoh dua dekad lagi
BOSTON: Kuasa komputer akan menyamai kebijaksanaan manusia dalam masa 20 tahun lagi kerana kemajuan pesat teknologi. Akhbar The Independent melaporkan, kemajuan teknikal bertambah 32 kali ganda dalam masa separuh abad lagi berbanding keseluruhan pada abad ke-20, dan salah satu hasilnya ialah kebijaksanaan tiruan bersamaan dengan kepandaian manusia menjelang tahun 2020-an, kata pakar komputer Amerika Syarikat, Ray Kurzweil.
Mesin secara pantas akan mengambil alih tempat manusia dalam kemampuan intelektual mereka dan tidak lama lagi mampu menyelesaikan beberapa masalah paling sukar abad ke-21, kata Dr Kurzweil, seorang daripada 18 pemikir yang dipilih untuk mengenal pasti cabaran teknologi paling hebat dihadapi manusia.
Dr Kurzweil dianggap sebagai seorang tokoh paling radikal dalam bidang ramalan teknologi. Ketokohannya bertunjang dari menjadi pengasas pelbagai bidang perkomputeran, seperti pengenalan karektor optikal - teknologi di sebalik kewujudan cakera padat - dan pengenalan ucapan automatik oleh mesin. Ucapannya kepada Persatuan Sains Lanjutan Amerika Syarikat (AAAS) menggambarkan masa depan yang menyaksikan kebijaksanaan mesin akan mengatasi otak manusia kerana ia belajar untuk berkomunikasi, mengajar dan meniru di kalangan mereka.
Cip komputer, sebagai contoh, menggandakan kuasa setiap dua tahun selama setengah abad lalu, yang membawa kepada kepantasan kemajuan dan pengecilan dalam semua teknologi berasaskan cip.
Dr Kurzweil memberitahu mesyuarat tahunan AAAS di Boston: "Kadar anjakan paradigma kini berganda setiap dekad, jadi, separuh abad seterusnya akan menyaksikan 32 kali kemajuan teknikal berbanding separuh abad sebelum ini.
"Perkomputeran, komunikasi, teknologi biologi sebagai contoh, DNA imbasan otak, pengetahuan mengenai otak manusia, dan pengetahuan manusia secara umum bergerak pada kadar lebih pantas, umumnya menggandakan harga prestasi dan kapasiti setiap tahun."
Komputer setakat ini berdasarkan cip dua dimensi yang dihasilkan daripada silikon, tetapi terdapat perkembangan yang sudah begitu maju untuk membuat cip tiga dimensi dengan prestasi jauh lebih baik, malah untuk membina ia dari molekul biologi yang boleh dikecilkan berbanding cip komputer berasaskan besi.
Walaupun otak tidak dapat menandingi komputer dari segi pengumpulan dan penemuan maklumat, ia mempunyai kemampuan tiada tandingan dalam mengumpulkan jenis berbeza maklumat, untuk melihat ke depan dan rancangan, selain memberikan kreativiti yang menjadi tumpuan kewujudan manusia.
- Agensi